'Tindakan agresif jika pemimpin tak endah suara Pemuda Umno'
Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berikrar untuk membawa suara ahli-ahlinya daripada sesi bedah siasat yang dijalankan malam ini mengenai kemelut enam pilihan raya negeri baru-baru ini, kepada perhatian pemimpin tertinggi parti itu.
Berucap kepada lebih 1,000 ahli Pemuda Umno yang berhimpun di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur, Akmal menggesa perbincangan secara aman, pada masa sama menyampaikan amaran kepada pemimpin tertinggi Umno.
"Saya beri jaminan hari ini kita boleh bincang cara baik, secara ilmiah. Keluar dari sini apa kita bincang, keep it to ourselves.
"Let me bring your voice. To the upper level. Jika tak ada apa apa berlaku, baru kita bertindak agresif. Setuju," kata Akmal ketika berucap pada majlis perasmian untuk memulakan sesi perbincangan yang akan diadakan secara tertutup.
Akmal juga membayangkan perhimpunan anggota Pemuda Umno dari seluruh negara itu diadakan sebagai tindakan balas terhadap seorang pemimpin kanan parti yang tidak dinamakan, yang didakwanya lantang membantah kritikan awal mereka yang dibuat sejak hari pengundian Sabtu lalu.
"Dia minta Pemuda hormati saluran, maka kita hormat saluran.
“Dia minta Pemuda Umno jangan kurang ajar, kita hormat, kita tak kurang ajar. Kita berbincang secara betul, baik-baik.
"Tapi kalau suara Pemuda tidak didengar? Maka berhadapan lah dengan suara Pemuda Umno seluruh Malaysia," katanya.
"Saya tak akan pernah takut. Tak akan pernah gentar untuk bawa suara Pemuda Umno semua. Ini janji saya, kerana apa?
"Ini bukan soal Dr Akmal sebagai Ketua Pemuda Umno. Ini soal masa depan Umno dan generasi kita yang jauh lebih penting dari jawatan saya," jelasnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Akmal menegaskan Umno merupakan milik setiap ahli dan oleh itu mereka mempunyai kewajipan untuk mengembalikan parti itu kepada kejayaannya dahulu.
Berani letak jawatan
Adun Merlimau itu juga berkata dia akan menerima sebarang penjelasan yang diberikan ahli malam ini untuk menilai prestasi hambar Umno pada PRN lalu - yang menang 19 kerusi dari 108 DUN yang ditandinginya di enam negeri.
"Saya berani letak jawatan sebagai ketua Pemuda Umno (jika majoriti kata saya punca kekalahan Umno).
"Sebab yang lebih penting adalah survival Umno itu sendiri," katanya.
Sebelum Akmal, Timbalan Ketua Pemuda Umno Hairi Md Shah turut mengingatkan ahli-ahli parti itu bahawa mereka perlu kekal bersatu untuk kejayaan masa depan.
Adun Larkin itu mengakui dirinya secara peribadi gagal untuk menjadi lebih aktif dalam talian dalam menangani pelbagai serangan yang dilancarkan oleh lawan Umno, termasuk terhadap Akmal.
Daripada 19 Adun Umno yang dipilih melalui enam pilihan raya negeri baru-baru ini, hanya seorang - Suhaimizan Bizar yang menang kerusi Gemencheh - daripada sayap Pemuda.
Sejak Sabtu, Akmal menjadi antara pemimpin Umno yang menyeru pembaharuan dalam parti itu, dengan beberapa pihak secara langsung menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.
BN menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, tiga di Kelantan dan dua di Kedah.
Umno juga tewas sepenuhnya di Terengganu, dengan PN menyapu bersih semua 33 kerusi, dan di Kedah PKR dan DAP hanya meraih tiga kerusi pembangkang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai