Menteri: 'Notis merah' ke Semporna jika tak selesai aduan pelancong
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing telah memberi amaran kepada pemain industri di Semporna, Sabah, tentang potensi risiko kepada perniagaan mereka jika mereka gagal menangani aduan mengenai tahap kesihatan dan keselamatan pengunjung ke pulau itu.
Ketika dihubungi, Tiong berkata kementerian melalui agensinya akan mengeluarkan "notis merah" memberi amaran kepada pengunjung supaya tidak pergi ke Semporna, sebagai pilihan terakhir.
“Jika mereka tidak menangani aduan itu, kita (kementerian) tidak akan menasihati orang ramai untuk berkunjung ke sana (Semporna).
"Kami mempunyai platform kami. Kami boleh memberitahu pelawat antarabangsa untuk tidak pergi ke sana. Ini demi kesihatan, keselamatan dan isu-isu lain mereka," kata Tiong kepada Malaysiakini.
Tambah Tiong, dia juga telah mengarahkan timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan untuk segera melawat Semporna bagi meninjau kawasan itu.
Pada catatan Facebook awal hari ini, Tiong berkata dia telah membangkitkan aduan itu pada mesyuarat kabinet baru-baru ini.
"Antara isu yang menjadi kegusaran pelancong ke Semporna adalah dakwaan mengenai persekitaran di sana yang sangat kotor, terdapat sampah sarap sehingga mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.
"Bukan itu sahaja, terdapat juga beberapa isu dibangkitkan seperti keracunan makanan, perkhidmatan hospitaliti yang ditawarkan juga tidak setara pada harganya (tuala, sarung bantal, cadar kotor), gangguan serangga dan lain-lain lagi," katanya.
Tiong berkata semua pihak yang berkenaan, termasuk pengusaha resort, restoran, hotel, rumah inap, pihak berkuasa tempatan perlu segera menaik taraf segala aspek berkaitan industri pelancongan.
"Saya memohon agar Motac Sabah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (Kepkas) serta pihak berkenaan yang terlibat mengemukakan cadangan dan pelan tindakan untuk menyelesaikan dan memperbaiki segala kelemahan yang ada kepada saya dengan kadar segera dalam memberikan keselesaan kepada para pelancong," katanya lagi.
Tiong juga menyatakan aduan berulang daripada pelancong sejak beberapa bulan lalu dan gesaannya untuk tindakan pembetulan seakan tidak diendahkan.
Semporna, yang terletak di Pantai Tenggara Sabah, terkenal sebagai pintu masuk untuk pelancong, termasuk penyelam profesional yang menikmati pengembaraan di dasar laut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai