Alumni PTD nafi keluar tuduhan terhadap KSN, KPPA
Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) hari ini menafikan ada mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
Timbalan Presiden Alumni PTD Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid berkata sebarang kenyataan yang dibuat oleh Alumni PTD adalah dikeluarkan melalui saluran rasminya iaitu Pejabat Urusetia Alumni PTD.
Beliau berkata setiap kenyataan yang dibuat juga perlu melalui proses perbincangan dan tapisan tertentu serta ditandatangani Presiden Alumni PTD sendiri atau ahli-ahli Jawatankuasa Kerja yang ditugaskan bagi pihak Presiden.
"Semua kenyataan rasmi Alumni PTD juga dikeluarkan di atas letter-head Alumni PTD.
"Oleh yang demikian, kenyataan yang dibuat bertarikh 14 Ogos itu jelas bukan datangnya dari Alumni PTD,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Isnin lepas, tular di media sosial satu kenyataan bertarikh 14 Ogos yang mengandungi berbagai tuduhan terhadap KSN dan KPPA yang kononnya dikeluarkan Alumni PTD.
Nuraizah berkata Alumni PTD yang ditubuhkan pada 1989 dengan terdiri daripada pesara PTD bertujuan untuk menjaga kebajikan ahli, membantu kerajaan dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan awam dan memberi perkhidmatan kepada negara dan masyarakat.
"Aktiviti-aktiviti Alumni PTD adalah sentiasa positif dan konstruktif seperti forum, ceramah, perbincangan meja bulat, penerbitan dan kebajikan…
"Alumni PTD sentiasa bertindak profesional dan bertanggungjawab dalam segala urusannya, serta memberi perhatian kepada kepentingan ahli, rakyat dan negara," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai