Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelajar cedera parah, perut tertusuk buluh bendera parti

Seorang remaja lelaki cedera parah akibat perutnya tertusuk buluh setelah motosikal yang ditunggangnya terlanggar belakang sebuah pacuan empat roda yang berisi muatan itu dalam kejadian di Kilometer 29 Jalan Gua Musang-Jeli di Kelantan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kejadian berlaku ketika mangsa, pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bendahara di Gua Musang, dalam perjalanan untuk pergi memancing kira-kira 9.30 malam.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa telah terlanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan muatan buluh yang sedang parkir di atas Jambatan Pulau Setelu.

“Susulan itu, mangsa telah tertikam dengan satu batang buluh yang digunakan untuk memasang bendera parti politik berukuran dua meter dan menembusi perutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sik berkata mangsa telah dibawa oleh orang awam ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan.

“Siasatan mendapati kenderaaan pacuan empat roda itu diparkir di atas jambatan berkenaan kerana pemiliknya sedang melakukan kerja-kerja mencabut bendera parti politik berhampiran lokasi kejadian.

“Pengguna jalan raya diminta supaya lebih berhati-hati semasa menjalankan kerja-kerja di atas jalan dengan memberi isyarat secukupnya kepada pengguna yang lain,” katanya.

Sik berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

- Bernama