Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

1MDB: BNM dapat tahu AS$700 juta dialih ke Jho Low pada 2015: Zeti

Siasatan Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 2015 mendapati AS$700 juta (RM2.28 bilion) dana 1MDB dialihkan ke entiti luar pesisir yang dikaitkan dengan ahli perniagaan yang menjadi buruan Low Taek Jho (Jho Low), kata bekas gabenor bank pusat itu.

Semasa perbicaraan rasuah 1MDB membabitkan penyelewengan RM2.28 bilion hari ini terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, saksi pendakwaan ke-46 Zeti Akhtar Aziz berkata bank pusat itu menjalankan siasatan, berikutan kegagalan 1MDB memberikan jawapan mengenai apa yang berlaku kepada dana yang dihantar ke luar negara pada tahun 2009.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama mengapa BNM mengambil masa bertahun-tahun untuk menyedari bahawa AS$700 juta - dana yang bertujuan untuk usaha sama antara 1MDB dan Petrosaudi International Limited (PSI) - telah dialihkan kepada Good Star Limited yang diperbadankan di Seychelles, Zeti berkata ini adalah kerana BNM perlu mendapatkan maklumat lanjut daripada pengawal selia luar negara, yang mengambil masa.

"Apabila pasukan penyelia (BNM) pergi pada Mac 2015 (untuk pemeriksaan di lokasi berikutan risikan yang dikumpul daripada pengawal selia dari bidang kuasa asing), mereka mendapati ia disalurkan ke Good Star.

"Dan pada ketika itu, terdapat siasatan mengenai siapa pemilik benefisiari Good Star dan kami dapati ia adalah Low," kata Zeti.

Dia menambah bahawa walaupun sebelum 2015, BNM sudah sangat curiga dengan apa yang berlaku di 1MDB disebabkan oleh pegawai firma itu yang tidak bekerjasama dengan bank pusat berhubung siasatan transaksi bagi tahun 2009.

Katanya, BNM telah menerima maklumat bahawa AS$700 juta tidak disalurkan kepada benefisiari sepatutnya, iaitu Petrosaudi di luar negara, sebaliknya dialihkan kepada Good Star yang dikaitkan dengan Low.

Zeti berkata BNM malah menolak satu lagi permohonan daripada firma itu untuk mendapatkan kelulusan bagi membuat pemindahan besar dana 1MDB yang sama ke luar negara.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu hanya selepas hampir tujuh tahun, barulah BNM mendapati bahawa wang AS$700 juta milik 1MDB telah masuk ke entiti yang salah, iaitu Good Star Ltd, sebuah syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Bekas Gabenor BNM Zeti Akhtar Aziz, 76, juga mengakui bahawa ia adalah satu tempoh yang panjang untuk mengetahui perkara berkenaan, kerana ia melibatkan proses yang panjang untuk menjejaki wang itu.

Urus niaga AS$700 juta berlaku pada 2009 dan pihak berkuasa menemukannya pada 2015.

Saksi pendakwaan ke-46 itu berkata demikian ketika ditanya peguam utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas perdana menteri itu yang membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Shafee: Tan Sri, hanya selepas hampir tujuh tahun, semua pihak berkuasa menyedari bahawa wang itu telah masuk ke dalam entiti Jho Low? Zeti menjawab "betul".

Shafee: Bukankan ia satu tempoh yang panjang untuk mendapati bahawa wang itu telah masuk ke entiti yang salah.

“Ia perkara yang amat biasa berlaku. Saya diberitahu oleh pihak berkuasa kewangan di seluruh dunia bahawa ia mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk menemukan dan mengesan kesalahan yang sedemikian.

“Betul urus niaga itu berlaku pada 2009, dan kita hanya tahu mengenainya pada 2015, tapi ia tidak bermakna bahawa BNM tidak membuat sebarang tindakan. Kita telah hantar beberapa surat dan emel kepada 1MDB. Kita minta status pelaburan AS$1 bilion itu.

“Namun tiada maklum balas yang kami terima, dan itu sebabnya pada 2014 apabila 1MDB memohon untuk mendapatkan lebih banyak wang, BNM menolak permohonannya kerana hutangnya terus meningkat, oleh itu, bank pusat menolak permohonannya,” tegas Zeti.

Saksi itu juga berkata bank pusat perlu menjalankan siasatan berberapa tahun lamanya, berikutan kegagalan pegawai 1MDB memberikan jawapan yang memuaskan kepada bank pusat mengenai apa yang berlaku kepada dana yang dihantar ke luar negara pada 2009 itu.

Shafee: Tan Sri, BNM tentu boleh mengenal pasti pemilik akaun sebelum sebarang kelulusan diberikan terhadap transaksi?

Zeti: Tidak, ia adalah bidang kuasa pihak lain, dan memerlukan masa untuk mengetahui siapa pemilik akaun itu.

Beliau juga menegaskan bahawa bukan peranan BNM untuk menjalankan due diligence berhubung transaksi itu, dan yang jelas ialah ia merupakan fungsi institusi kewangan terlibat.

Najib, 70, berdepan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.