Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

DPMM gesa kerajaan kaji pelaksanaan semula GST

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa kerajaan untuk mengkaji pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang dimansuhkan pada 2018.

Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata ini kerana GST adalah sistem cukai paling cekap di dunia, dengan lebih 172 daripada 193 negara - atau kira-kira 90 peratus - melaksanakannya.

“Ramai orang dan usahawan tak suka GST tetapi ia adalah regim cukai paling efisien di dunia, banyak negara sudah buat tetapi Malaysia antara negara yang tak buat.

“Kenapa (GST baik)? Kerana dari satu perkara ke satu perkara, cukai akan dikenakan. Jadi bila GST tak ada, pendapatan negara kalau tak silap saya berbilion ringgit perlu ditanggung semula ekoran kehilangan pendapatan (kerana pemansuhan GST).

“Jadi, kita minta agar kerajaan lihat balik (pelaksanaan GST ini),” katanya ketika sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Nursyahrin Hamidon

Sistem GST diperkenalkan pada 2015 dengan kadar enam peratus bagi menggantikan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Pemansuhannya termasuk dalam manifesto PH pada PRU14 dan ia kemudian dimansuhkan oleh kerajaan gabungan itu di bawah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang mengembalikan semula SST, dengan kadar sepuluh peratus untuk barangan dan enam peratus untuk perkhidmatan.

Pada 2017, iaitu tahun akhir pelaksanaannya, GST membawa hasil kutipan cukai sebanyak RM44 bilion.

Pada 2019, iaitu tahun pertama pelaksanaan semula SST, kerajaan mengutip RM26.8 bilion hasil cukai.

Sebelum ini sudah ada gesaan agar kerajaan melaksanakan semula GST namun pada Mac lalu, kerajaan berkata ia tidak akan berlaku pada tahun ini walaupun tidak menutup terus pelaksanaan semulanya.

Mengulas lanjut, Norsyahrin berkata jika GST tidak diperkenalkan semula negara hanya akan bergantung kepada percukaian individu dan syarikat.

"Jadi, itu antara perkara yang perlu dilihat oleh kerajaan.

“Siapa yang pakai lebih sudah tentu dia akan bayar lebih GST tetapi siapa yang kurang berbelanja akan kuranglah dikenakan GST," katanya selepas menandatangani Perjanjian Persefahaman Usahasama dengan RichWorks International Sdn. Bhd.