Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Anwar jangan tunduk sentimen perkauman sempit demi undi - MP PKR

Perdana Menteri Anwar Ibrahim digesa supaya tidak tunduk kepada tekanan, di tengah-tengah kebimbangan kerajaan Madani mungkin bergerak ke arah fahaman kanan untuk merayu undi Melayu konservatif.

Ahli Parlimen Pasir Gudang PKR Hassan Abdul Karim berkata ini jika Anwar mahu menonjol sebagai ahli politik yang berwawasan untuk generasi akan datang.

Hassan berkata Anwar mesti kekal teguh dengan visi Madaninya untuk membina Malaysia berbilang kaum dan agama yang kukuh, demokratik dan bersatu.

“Seorang pemimpin seperti perdana menteri, jika dia layak digelar pemimpin tulen dan bukan hanya sebagai ahli politik biasa, mesti mempunyai wawasan untuk generasi akan datang dan tidak tunduk kepada objektif sempit dan oportunistik hanya untuk meraih undi dan memenangi pilihan raya.

“Saya menganggap sebarang percubaan Pakatan Harapan, jika ada, untuk bergerak lebih jauh ke arah ideologi dan dasar fahaman kanan semata-mata untuk meraih sokongan daripada orang Melayu yang konservatif, dan bukan progresif, dengan menggunakan naratif dan sentimen perkauman dan chauvinisme Melayu yang sempit dan tidak bertanggungjawab... (maka ini) akan lebih jauh lagi mendekati ekstremisme yang dilarang oleh Islam,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurut Hassan, secara peribadi dia akan menentang sebarang tindakan sedemikian kerana percaya ia bertentangan dengan prinsip reformasi dan keadilan sosial.

Kerajaan persekutuan mesti mengekalkan pendekatan sederhana dalam dasar mereka, kata Hassan, yang turut mengingatkan bahawa Malaysia merangkumi warganegara Melayu dan bukan Melayu yang mempunyai hak yang sama di bawah Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan.

Malaysia bukan sahaja mempunyai peratusan warga bukan Melayu yang sangat ketara, malah Hassan berkata Orang Asal Sabah dan Sarawak mesti diambil kira kerana majoriti penduduk di negeri itu tidak menganggap diri mereka sebagai Melayu.

Sementara itu, Ketua Pemuda PH Kelvin Yii (gambar, atas) berkata dia bersetuju bahawa kerajaan mesti berpegang kepada pendekatan sederhana dalam pentadbiran.

Paling penting, kata Yii kerajaan Madani mesti menangani kebimbangan ekonomi rakyat, tanpa mengira kaum dan memastikan dasar makronya diterjemahkan menjadi realiti di lapangan kehidupan.

Ini termasuk pertumbuhan KDNK yang positif, inflasi yang lebih rendah dan peningkatan keyakinan pelabur, menghasilkan pelaburan yang lebih baik dan berkualiti, katanya.

"Kita hanya boleh 'memecah gelombang itu' dengan memperbaiki kehidupan rakyat, memperbaiki ekonomi dan membawa pembaharuan institusi," katanya.

Bagaimanapun, Yii mengakui PH dan BN perlu bermuhasabah dan melakukan bedah siasat terhadap kebimbangan pengundi Melayu.

Mereka juga mesti mencari jalan untuk memenangi keyakinan pengundi Melayu tanpa menjejaskan sensitiviti mereka, sambil tetap memerintah di peringkat pusat dan menangani kebimbangan bersama dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama golongan miskin dan kelas pekerja, katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Adam Adli (gambar, bawah) berkata kerajaan tidak perlu menilai semula asas atau prinsip mereka.

Sebaliknya, dia berkata pendekatan dan cara mereka menyampaikan mesej mereka yang mesti diubah.

“Bahasa yang kita pertuturkan mesti bergema di kalangan orang ramai.

"Apa yang kita hadapi ialah maklumat yang salah, propaganda mengelirukan yang didorong oleh kebencian kaum dan agama serta prejudis," kata Adam, yang juga timbalan menteri belia dan sukan.

Jelasnya lagi, nilai asas kerajaan Madani sudah selari dengan ajaran Islam dan nilai-nilai Melayu, tanpa perlu memudaratkan negara berbilang kaum.

[Baca berita asal]