Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Muhyiddin lepas: Apa nak jadi negara ini, soal Isham Jalil

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil mahu peguam negara memfailkan rayuan berhubung pelepasan dan pembebasan Muhyiddin Yassin berhubung empat pertuduhan salah guna kuasa RM232.5 juta bagi parti itu yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa, hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Muhammad Jamil Hussin,  berkata empat pertuduhan terhadap Muhyiddin yang menyatakan suapan bagi sekutunya Bersatu tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

Isham Jalil

“Ini amatlah pelik. Kalau begini, adakah apabila sesiapa jadi perdana menteri atau menteri selepas ini maka mereka boleh meminta rasuah dari kontraktor atau syarikat berjumlah beratus juta dari projek kerajaan di mana sumber dana adalah wang rakyat dan hasil cukai, asalkan mereka masukkan ke akaun parti politik mereka?

“Saya gesa supaya peguam negara memfailkan rayuan pendakwaan ke atas kes ini di Mahkamah Rayuan.

“Sebab jika kes ini menjadi keputusan dan duluan undang-undang, maka lebih teruklah rasuah berleluasa di negara ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Hakim, Jamil juga  memutuskan bahawa pertuduhan ke atas bekas perdana menteri itu adalah cacat, tidak berasas dan kabur serta tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

Muhyiddin, sebagai perdana menteri ketika itu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff bagi parti Bersatu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat perdana menteri, di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Jamil dalam penghakiman ringkasnya berkata mahkamah mempunyai kuasa sedia ada untuk mengetepikan atau membatalkan pertuduhan serta menggantung pertuduhan secara kekal.

"Mahkamah mendapati Muhyiddin dituduh dengan suatu kesalahan yang tidak diperuntukkan mengikut undang-undang. Keempat-empat pertuduhan itu cacat kerana tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

"Pertuduhan yang tidak meletakkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM adalah salah laksana keadilan. Empat kesalahan itu juga tidak mengandungi butir-butir cara kesalahan dilakukan sebagai mana diperuntukkan di bawah Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ)," kata hakim itu.

Bagaimanapun, mengulas kes itu, Isham berkata dia amat tidak bersetuju dengan keputusan hari ini.

“Saya amat tidak bersetuju. Sebab saya dan rakyat Malaysia bayar cukai bukan untuk menteri-menteri dapat rasuah bagi kegunaan parti politik mereka. Wang rakyat dan cukai tidak sepatutnya diguna untuk tujuan ini. 

“Dan jika rasuah itu diterima untuk dimasukkan ke dalam akaun parti politik sendiri, ia adalah untuk kepentingan peribadi bukan untuk kepentingan awam. 

“Sebab rakyat mempunyai pandangan politik yang berbeza dan membayar cukai bukan untuk menaja parti politik,” katanya.

Ahli MKT Umno itu juga membidas keputusan mahkamah yang didakwanya tidak adil apabila membabitkan pemimpin Umno.

“Bila kena pada parti lain semua ok. Rasuah RM200 juta pun boleh masuk dalam akaun parti tak mengapa. Apa nak jadi negara ini?” soalnya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi Malaysiakini, berkata pihak pendakwaan mempunyai arahan untuk memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Jamil.