Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pasukan petugas 1MDB bertujuan dakwa Najib, tukar k'jaan - Shafee

Peguam Muhammad Shafee Abdullah hari ini mendakwa bahawa pasukan petugas 1MDB ditubuhkan pada 2015 untuk mendakwa perdana menteri ketika itu, Najib Razak dan membawa kepada pertukaran kerajaan.

Bagaimanapun, bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz menafikan ia matlamat pasukan petugas yang pernah disertainya, sebaliknya mengatakan ia bertujuan untuk menyiasat transaksi mencurigakan berkaitan 1MDB.

Mahkamah diberitahu demikian ketika perbicaraan kes rasuah terhadap bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu hari ini atas dakwaan menyalahgunakan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Shafee: Saya katakan kepada kamu bahawa sebab sebenar (di sebalik penubuhan pasukan petugas pada 2015 sebelum ia dibubarkan) adalah untuk mencari jalan untuk mendakwa perdana menteri semasa (Najib) dan melaksanakan pertukaran kerajaan?

Zeti: Tidak betul, kerana ketika pasukan petugas pertama kali bertemu pada 9 Jun 2015, tidak ada pengetahuan daripada mana-mana pihak di Bank Negara bahawa terdapat hubungan antara 1MDB dengan akaun perdana menteri. Itu tidak betul.

Shafee: Ini tidak benar. SPRM sedang siasat perdana menteri (Najib) secara rahsia.

Zeti: Tidak dalam pengetahuan saya dan ini tidak disebut dalam mesyuarat pasukan petugas, ia adalah untuk menyiasat 1MDB kerana kebimbangan peringkat tinggi dan jika 1MDB ingkar, maka implikasi kepada negara kita akan bergenerasi lamanya, bukan sahaja kepada rakyat yang hidup sekarang tetapi hingga ke anak cucu.

Apabila Shafee mengasak saksi berhubung dakwaan bahawa draf pertuduhan jenayah terhadap Najib telah ditemui dalam milikan seorang Timbalan Pendakwa Raya yang tidak dikenali semasa pihak berkuasa menyerbu pejabat SPRM selepas pembubaran pasukan petugas 1MDB, Zeti berkata dia tidak tahu mengenai perkara itu.

Dia juga menjawab tidak tahu mengenai dakwaan peguam bela bahawa pasukan petugas tersebut dibubar kerana Jabatan Peguam Negara tidak mendapat kebenaran daripada kabinet ketika itu yang dipimpin oleh Najib.

Pada tahun 2015 sebelum pembubaran pasukan petugas itu, terdapat gambar tular di media sosial mengenai dakwaan pertuduhan jenayah terhadap Najib.

Selain Zeti, pasukan petugas itu juga terdiri daripada peguam negara ketika itu, Abdul Gani Patail, ketua pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed, dan ketua polis negara ketika itu, Khalid Abu Bakar.

Semasa pemeriksaan balas oleh Shafee, Zeti yang merupakan saksi ke-46 pendakwaan juga menafikan bahawa Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) - yang ditubuhkan semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018 - mempunyai niat untuk mendakwa Najib berhubung isu 1MDB.

"Saya menghadiri setiap mesyuarat (CEP) selama 100 hari. 1MDB tidak pernah dibincangkan," tegas Zeti ketika bertikam lidah dengan Shafee.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib menghadapi empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang melibatkan RM2.28 bilion daripada 1MDB, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan (Diperbadankan) atau MOF Inc.

Bagi empat tuduhan penyalahgunaan kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di cawangan AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan,

Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Bagi 21 tuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.