Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Khalid: Dua Adun PH-BN mampu beri hujah kukuh di DUN Kelantan

Meskipun PH dan BN masing-masing hanya menang satu kerusi di Kelantan, Pengerusi Amanah Negeri Khalid Samad berkata ia tidak menghalang kedua-dua Adun itu untuk memberikan hujah yang kukuh ketika sidang DUN nanti.

Khalid berkata dua Adun tersebut akan memastikan semak imbang dalam kerajaan negeri dapat dilakukan dengan berkesan.

“Bersuara dalam dewan ini bukan soal jumlah, ia soal kekuatan hujah. Di Parlimen walaupun ramai (ahli parlimen pembangkang), peranan semak imbang hampir tak ada kerana (misalnya) apabila nak dibahaskan laporan tahunan oleh ketua audit negara, mereka keluar.

"Apa yang penting, dua Adun ini (boleh) bangun dan bentangkan hujah-hujah yang kukuh.

"Insya-Allah kita yakin mereka mampu memberikan keberkesanan dalam semak imbang dan kami akan bantu agar mereka boleh tegur sikap kerajaan," katanya ketika sidang media pasca PRN di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Turut serta dalam sidang media adalah Adun Kota Lama dari Amanah, Dr Hafidzah Mustakim yang menewaskan calon PN Zamri Ismail dengan majoriti 202 undi pada PRN lalu.

Seorang lagi Adun pembangkang adalah Mohd Syahbuddin Hashim dari BN yang menewaskan calon PN Mohd Tarmizi Abd Rahman di Galas dengan majoriti 3,337 undi.


Keputusan penuh PRN 2023: Enam negeri memilih


Hafidzah merupakan Adun pertama dari Amanah di Kelantan.

Khalid berkata kemenangan yang dicapai Amanah di DUN Kota Lama menunjukkan imej seperti "pengkhianat Islam dan keldai DAP" terhadap calon parti itu kian terhakis.

Hafidzah Mustakim

Diminta mengulas mengenai trend pengundi Amanah di negeri itu, Hafidzah berkata berdasarkan kempen selama dua minggu, sokongan tidak saja daripada golongan berusia tetapi juga terdapat peningkatan dalam kalangan pengundi muda.

“Cuma kita kena tunjukkan kepada mereka dengan pelaksanaan ini (yang ditawarkan).

“Walaupun saya minoriti dalam DUN Kelantan, saya harap dapat buat semak imbang dalam kerajaan (negeri). Kita mahu bawa suara rakyat yang mahukan perubahan," katanya.

Sementara itu, Khalid berkata keputusan PRN turut dipengaruhi peratusan keluar mengundi yang rendah di Kelantan iaitu 56 peratus.

“Sebabnya ialah ramai yang bekerja di luar. Ini mencerminkan negeri Kelantan sendiri di mana ramai mencari rezeki di luar negeri, pekerjaan di Kelantan tidak dapat diwujudkan oleh kerajaan PAS,” katanya.