Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penganalisis: K'jaan mungkin jadi lebih konservatif demi sokongan Melayu

PN telah meraih kemenangan signifikan dalam PRN lalu walaupun PH-BN berjaya mengekalkan Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Kejayaan PN tersebut menunjukkan kerajaan perpaduan gagal menarik lebih ramai pengundi Melayu-Islam konservatif.

Petanda paling jelas adalah BN - yang seharusnya memainkan peranan menarik undi Melayu - kalah teruk di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

PH-BN juga hilang beberapa kerusi majoriti Melayu seperti di Permatang Pauh di Pulau Pinang dan bahagian utara Selangor, sehingga gagal meraih majoriti dua pertiga di Selangor.

Pada masa sama, kejayaan mengekalkan Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang adalah kerana undi penyokong sedia ada PH, yang biasanya memiliki latar belakang yang lebih progresif dan golongan bukan Melayu.

Dalam keadaan ini, PH-BN kian sukar untuk menangani "Gelombang Hijau" - usaha yang telah dilakukannya sejak lapan bulan lalu.

Penganalisis politik yang dihubungi Malaysiakini menegaskan perkara ini dan berpandangan kerajaan gabungan PH-BN berkemungkinan menjadi lebih konservatif dalam usaha meningkatkan sokongan Melayu.

Felo kanan Singapore Institute of International Affairs Oh Ei Sun berkata mereka tiada pilihan selain berbuat demikian demi mencapai perkara itu.

"Keputusan PRN menunjukkan majoriti orang Melayu, atau Melayu arus perdana, lebih cenderung kepada hala tuju sosiopolitik yang lebih konservatif dan berpandukan keagamaan di negara ini.

"PAS memenuhi keadaan ini dan menang banyak kerusi," katanya.

Kerajaan perpaduan telah cuba menarik sokongan pengundi konservatif sejak lapan bulan lalu - antaranya seperti keputusan mengharamkan jam tangan Swatch berkaitan LGBT.

Pensyarah kanan Universiti Malaya Khoo Ying Hooi berkata ia menunjukkan kerajaan menggunakan pendekatan lebih populis berdasarkan isu.

"Jika kerajaan merasakan pengundi Melayu-Islam tidak gembira (berkenaan isu tersebut), mereka akan buat pengubahsuaian dan tidak akan menjejaskan keadaan dan mengekalkan kestabilan kerjasama mereka (parti dalam kerajaan)," katanya.

Tunduk pada tekanan

Namun, terdapat batasan dan juga kesan bertentangan jika PH-BN terus tunduk kepada tekanan untuk beralih ke arah "lebih kanan".

Mereka berisiko kehilangan asas sokongan PH iaitu pengundi bandar dan bukan Melayu - yang dilihat sebagai "deposit tetap" gabungan itu.

Pada masa sama, tiada jaminan langkah yang mereka ambil itu dapat meraih sokongan Melayu konservatif yang cukup dalam pilihan raya akan datang.

"Dengan isu kepentingan Melayu dan Islam ditafsir dalam terma 'zero-sum game', tak kira apa yang dilakukan kerajaan, ia tidak akan menghalang PN daripada menuduh mereka tidak berbuat secukupnya," kata penganalisis Wong Chin Huat.

Namun Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya ada pandangan berbeza. Menurutnya, peralihan undi Melayu kepada PN sebenarnya adalah suara mereka agar kerajaan fokus kepada keadaan ekonomi orang Melayu.

"Terutama di Terengganu, Kedah dan Kelantan, di mana kita dapat lihat pertumbuhan ekonomi yang secara relatifnya perlahan. Kerajaan patut menumpukan perkara ini.

"Saya fikir kerajaan perlu kekal dalam konteks mengekalkan pendirian yang sederhana dan progresif.

"Corak pengundian sekarang tidak lebih sekadar isu sentimen, melihat kepada kebimbangan keadaan sosioekonomi Melayu di negeri-negeri khusus yang perlu diberi perhatian," katanya.

Keadaan ekonomi

Keadaan ekonomi sentiasa dianggap sebagai isu kritikal untuk rakyat - sama ada ketika musim pilihan raya atau tidak - terutama selepas wabak Covid-19.

Berbanding menjadi lebih konservatif, beberapa penganalisis mencadangkan kerajaan agar fokus kepada pemulihan ekonomi untuk meraih undi daripada penduduk yang terbeban dengan kerisauan ekonomi.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar setuju dengan pandangan ini, berkata kerajaan perlu menumpukan usaha meringankan kos sara hidup yang tinggi serta dasar ekonomi yang baik.

"Saya yakin jika ekonomi baik, rakyat tak lapar dan gaji mereka cukup untuk menyara keluarga, sokongan akan sampai kepada kerajaan tanpa perlu diminta,"katanya.

Memandangkan usaha pemulihan ekonomi memerlukan masa yang lama untuk membuahkan hasil, ia bergantung kepada sama ada pengundi Malaysia dapat bersabar dan memberikan peluang kepada kerajaan.

Kerajaan nampaknya turut sedar akan perkara ini.

Khoo berkata kerajaan menggunakan naratif pengekalan kerajaan demi kestabilan politik penting untuk memacu ekonomi dan memulihkan keyakinan pelabur.

Namun ada juga yang tidak yakin menyelesaikan isu ekonomi negara akan memberi kesan besar ke atas tahap sokongan Melayu terhadap PH-BN.

Wong berkata ia mungkin dapat meringankan kebimbangan berkaitan ekonomi, tetapi tidak akan dapat meredakan ketegangan berdasarkan kaum dalam kalangan pengundi.

"Akhirnya, di mata penyokong tegar PN, tiada yang betul dilakukan Anwar selagi bersama DAP," katanya.

Dia sebaliknya menawarkan alternatif - "melangkaui mentaliti 'zero sum game' etnik' dengan negara beralih kepada "mode krisis" agar rakyat berada di belakang kerajaan.

Ia berlaku ketika wabak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, di mana rakyat Malaysia bersatu tanpa mengira kaum berdasarkan pegangan "Kita Jaga Kita".

Katanya, mode pengurusan krisis hanya berjaya jika kerajaan melibatkan menteri bayangan dan ahli parlimen pembangkang agar mereka tidak menyerang kerajaan.

Oh juga tidak yakin pemulihan ekonomi akan meningkatkan sokongan Melayu, dengan berkata idea Madani tidak menarik majoriti orang Melayu.

"Sekurang-kurangnya seperti ketika saya ke Kelantan dan Terengganu baru-baru ini,ramai orang Melayu yang mungkin bagi mereka isu sosioekonomi bukan perkara utama.

"Bagi mereka itu adalah cara hidup. Biasanya cara hidup itu berdasarkan pandangan yang konservatif dan agama dan mereka ingin mengekalkannya," katanya lagi.