Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Tanpa kerjasama kaum, sukar tubuh kerajaan

Selepas berakhirnya pilihan raya negeri di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu, sekali pandang seolah-olah Perikatan Nasional sudah menguasai kerusi-kerusi Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Namun, ia tidak begitu. Berikut adalah realiti yang sebenar:

Tiada lagi komplot tukar kerajaan

Sikap PN yang sentiasa mempersoalkan keabsahan Kerajaan Perpaduan walaupun setelah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan undi percaya di Parlimen pada 19 Disember 2022 adalah sangat mengecewakan.

Sehingga dan sepanjang pilihan raya negeri diadakan, PN menggembar-gemburkan cerita kononnya jika PH kalah di Selangor, Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan akan jatuh.

Selepas keputusan seri 3:3 diketahui malam semalam, sama seperti yang diramalkan oleh banyak penganalisis politik, tiada lagi cakap-cakap untuk menjatuhkan kerajaan di separuh jalan, seperti yang berlaku dalam rampasan kuasa Langkah Sheraton.

Mengulang-ulang cerita kononnya kerajaan akan tumbang pada pertengahan penggal tidak mendapat sambutan lagi, dan ia sekadar untuk penyokong tegar PN syok sendiri.

PN kini perlu menerima hakikat bahawa ia telah tewas pada pilihan raya umum ke-15 pada 2022 dan gagal menumbangkan kerajaan negeri Selangor pada 12 Ogos yang lalu.

Ia sepatutnya membuktikan kepada rakyat prestasinya sebagai pembangkang yang terhormat dan efektif, dan bukannya tukang adu domba, walaupun setakat ini ia masih gagal berbuat demikian.

Bermain dengan kemarahan Melayu takkan kemana

Sepanjang PRN, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berulang-ulang menyatakan bahawa PN akan membentuk kerajaan negeri jika 90% pengundi Melayu menyokongnya. Agak jujur juga kenyataannya kerana beliau sedar perubahan kerajaan di Selangor hanya boleh berlaku jika hampir semua pengundi Melayu memilih PN di dalam sebuah negeri pelbagai kaum.

Kebanyakan negeri di Malaysia lebih mirip demografi mereka dengan Selangor berbanding Kedah, Kelantan atau Terengganu yang mempunyai ramai penduduk Melayu. Untuk menguasai Kerajaan Persekutuan melalui pilihan raya, mana-mana gabungan politik perlu menang merentasi kaum. Undi daripada satu kaum sahaja tidak mencukupi.

Namun, dari segi strukturnya, PN agak tempang kerana terbukti ia hanya mampu menang di kawasan yang mempunyai sangat ramai pengundi Melayu tetapi gagal memenangi sokongan pengundi bukan Melayu.

Sepatutnya, negara akan beroleh faedah jika PN merupakan sebuah gabungan pelbagai kaum yang mempunyai pelan dan pelaksanaan untuk memenangi undi kedua-dua kaum Melayu dan bukan-Melayu.

Jika PN berbuat demikian, akan lahir dua gabungan politik di Malaysia yang bersaing mendapatkan undi daripada semua kaum berdasarkan hal dasar dan polisi, dan ini dapat mengurangkan ketegangan kaum akibat politik kaum yang dimainkan oleh PN pada masa ini.

Namun, jika PN masih berdegil serta gagal membina gabungan politik pelbagai kaum, ini bermakna peluang Kerajaan Perpaduan untuk mengekalkan kuasa pada PRU akan datang sangat cerah.

Berakhirnya era Muhyiddin, Hadi, Azmin

Kegagalan PN memenangi Selangor bererti tiada lagi cubaan rampasan kuasa untuk menjatuhkan kerajaan Anwar Ibrahim. Ia juga bermakna kepimpinan politik Muhyiddin dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang semakin tidak relevan.

Kepimpinan PN dijangka akan diambil alih oleh para pemimpin seperti Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Terengganu Terengganu Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsusi Mokhtar.

Di sebalik watak keloloh Sanusi, ada tokoh populis yang pandai bermain politik ala Presiden Donald Trump. Di sebalik ketenangan wajah Samsuri yang jarang menjadi gosip politik nasional, ada tokoh yang merupakan seorang pakar strategi.

Buat kali pertama sejak 40 tahun lalu apabila golongan muda - termasuk Hadi - mengambil alih kuasa daripada kepimpinan lama PAS pada 1982, parti Islamis ini dijangka memperlihatkan perubahan besar dalam strukturnya tidak lama lagi. Apabila PAS berubah bersama kepimpinan generasi Sanusi-Samsuri, kemungkinan besar akan berlaku perubahan hala tuju parti.

Bersatu pula sudah hilang tapak kuasanya, dan tertekan dengan kebangkitan PAS dalam kalangan orang Melayu. Untuk terus hidup, ia terpaksa mempunyai azam dan kebijaksanaan yang tinggi bagi menghadapi PRU akan datang.

Saya tidak kata era Bersatu sudah tamat tetapi nampaknya ia hampir berakhir untuk Datuk Seri Azmin Ali. Walaupun beliau memenangi kerusi DUN Hulu Kelang, tiada sinar cahaya untuk masa depan politiknya. Di luar partinya, beliau sukar mendapat sokongan rakyat berikutan demografi pelbagai kaum Selangor.

Juga beliau tidak mampu bergerak tanpa sumber kuasa dan kewangan kerajaan. Di dalam Bersatu pula, Azmin semakin dipinggirkan oleh saingannya daripada kem Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Saingan gabungan tiga penjuru telah berakhir

Satu lagi kesan daripada PRN 2023 ini adalah persaingan tiga gabungan politik, iaitu sejak PRU14 (PH lawan BN lawan PAS) hingga PRU15 (PH lawan BN lawan PN) sudah tiada lagi.

Struktur politik mulai sekarang hingga PRU16 akan menjadi persaingan di antara Kerajaan Perpaduan dan PN sahaja, kecualilah jika PN berpecah sebelum PRU akan datang.

Politik membakar kemarahan orang Melayu akan beransur pudar apabila kemarahan itu sampai ke puncaknya dan berjaya diredakan, dan apabila Kerajaan Perpaduan yang mendapat sokongan semua kaum akhirnya berpeluang mentadbir tanpa gangguan untuk menjatuhkannya.


LIEW CHIN TONG ialah Pengerusi DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.