Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hawaii terbakar: Lebih 80 maut, ratusan masih hilang

GLOBAL | Pihak berkuasa sedang memindahkan penduduk di pulau Maui di Hawaii ketika api semakin menghampiri bandar Kaanapali, sebuah bandar di utara Lahaina yang dilanda kebakaran teruk sejak Selasa lalu.

Setakat ini, 80 orang telah disahkan maut dalam bencana alam yang paling dahsyat dalam sejarah negara AS, menurut laporan Reuters.

Beratus-ratus lagi telah dilaporkan hilang dan jumlah korban mungkin masih meningkat.

Pihak berkuasa telah memberi amaran bahawa ia akan mengambil masa bertahun-tahun untuk membaiki kerosakan yang disebabkan oleh kebakaran di pulau Maui.

Lebih 1,000 bangunan telah musnah di Lahaina sahaja.

Punca kebakaran yang bermula pada malam Selasa, 8 Ogos itu masih belum dapat dipastikan.

Bagaimanapun, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat dilaporkan telah mengeluarkan amaran cuaca angin kencang dan cuaca kering bagi Kepulauan Hawaii - keadaan yang matang untuk kebakaran hutan.

Hampir 85 peratus kebakaran hutan AS disebabkan oleh manusia, menurut Perkhidmatan Hutan AS Penyebab semula jadi termasuk kilat dan aktiviti gunung berapi.

Di Hawaii yang memiliki gunung berapi, dilaporkan kurang daripada satu peratus kebakaran adalah disebabkan oleh punca semula jadi.

Cuaca panas telah menyumbang kepada kebakaran hutan yang luar biasa teruk di Eropah dan barat Kanada.

Para saintis dilaporkan berkata perubahan iklim, didorong oleh penggunaan bahan api fosil, telah menyebabkan kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap dan lebih kuat.