Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Dr M soal Halim Saad: Kenapa baru saman sekarang?

Dr Mahathir Mohamad berasa hairan dengan keputusan ahli perniagaan Halim Saad untuk menyamannya menjelang pilihan raya negeri.

"Saya juga hairan dengan dakwaan Halim Saad ini? Kenapa selama ini dia tidak ambil tindakan terhadap saya dan tiba-tiba dekat pilihan raya dia saman.

"Akan berulang lagikah sejarah baling batu sembunyi tangan," katanya.

Pada Rabu, Malaysiakini melaporkan Halim menyaman Mahathir, bekas menteri kewangan II Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan.

Difailkan dengan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Ogos, tindakan sivil itu berhubung dakwaan kerajaan merampas hak Halim sebagai pemegang saham mengawal firma tersenarai bermasalah Renong Berhad pada 2001.

Halim mendakwa ini dilakukan melalui Khazanah Nasional Berhad yang melaksanakan pengambilalihan UEM Malaysia Berhad atas arahan kerajaan sebagai sebahagian daripada pengambilalihan wajib antara Julai dan Oktober 2001.

Halim mendakwa pengambilalihan itu menjejaskan 372 juta saham dalam Renong dan Mahathir dan Nor Mohamed adalah penggerak utama pengambilalihan itu.

Sementara itu, Mahathir berkata dia telah menerima notis saman yang menuduhnya mengarahkan Halim melepaskan UEM dan Renong Berhad tanpa sebarang keuntungan untuk ahli perniagaan itu.

"Halim Saad juga dakwa dia tidak setuju dengan arahan itu tapi saya salahguna kuasa pada tahun 2001 untuk paksa dia lepaskan juga.

"Dia tuntut bahawa UEM dan Renong milik dia dan hak perlembagaan dia saya ketepikan. Dia mahu dibayar gantirugi dan pampasan.

"Saya akan jawab tuduhan ini di Mahkamah melalui Peguam saya. Tiada apa saya perlu sembunyikan,” katanya.

"Cuma saman ini agak pelik sebab dulu dia juga ada cuba saman Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Khazanah tapi gagal kerana Mahkamah buang kes dia pada tahun 2013,” katanya lagi.