Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kesatuan pekerja KWSP kecam 'pengurusan zalim' guna lencana

Kesatuan Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan bantahan bermula semalam terhadap pengurusan pemegang amanah simpanan persaraan itu.

Kesatuan itu mewakili kakitangan KWSP semenanjung dan Sabah serta Sarawak.

Presidennya, Ahmad Hamzah berkata keputusan untuk mengadakan bantahan dibuat selepas usaha untuk berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi KWSP menemui jalan buntu.

"Kita mengambil keputusan untuk melakukan bantahan dengan memakai lencana 'pengurusan KWSP zalim' mulai semalam hingga 16 Ogos ini.

"Ia adalah sebagai tanda kekecewaan kami terhadap pihak pengurusan selepas mengadakan beberapa siri perjumpaan untuk mengemukakan tuntutan untuk kepentingan ahli kesatuan.

"Antara tuntutan kami suarakan sejak sekian lama adalah semakan semula kadar gaji memandang berlaku kesenjangan pendapatan yang amat besar antara pengurusan dan pekerja bawahan," katanya melalui satu kenyataan media yang dilihat Malaysiakini di Kuantan, Pahang, hari ini.

Ahmad turut menyenaraikan cadangan dikemukakan kesatuan itu antara lain adalah penyeragaman terma dan syarat perkhidmatan, faedah persaraan, elaun wilayah, bonus selepas jualan (cross selling bonus) dan bantahan penubuhan jawatankuasa tatatertib pengurusan.

Selain itu, katanya, pihak pengurusan juga belum mengisi jawatan pengarah wilayah Sabah selain tidak mengambil perhatian terhadap permohonan penambahan geran tahunan untuk kesatuan.

"Kesatuan sudah menghantar cadangan ini kepada pihak pengurusan tetapi malangnya tidak ada cadangan balas (diterima) daripada mereka.

"Keengganan mereka berbincang dan memberikan cadangan balas ini mengakibatkan wujudnya perbezaan kepentingan.

"Sebagai wakil kesatuan, amatlah wajar kesatuan mengambil tindakan ke atas pihak pengurusan KWSP yang tidak memberi perhatian dan tidak berminat menyelesaikan perkara ini secara harmoni," katanya lagi.

Dia bagaimanapun memberi jaminan semua kakitangan KWSP yang juga ahli kesatuan itu akan tetap memberikan perkhidmatan seperti biasa kepada pencarum yang datang berurusan di kaunter KWSP seluruh negara.

Katanya, tindakan mengadakan bantahan itu adalah bagi menghantar mesej kepada pihak pengurusan KWSP supaya lebih peka dengan kebajikan kakitangan mereka, terutamanya pekerja bawahan.

"Kesatuan juga merayu kepada Perdana Menteri untuk masuk campur bagi meleraikan kemelut yang sedang melanda.

"KWSP perlu memberi maklum balas dan tidak boleh membiarkan ahli kesatuan tidak berpuas hati.

"Kami yakin perdana menteri akan menjadi orang tengah bagi mencari penyelesaian masalah ini," katanya.