Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Faiz nak buka 'buku baru' lepas tinggalkan Bersatu

WAWANCARA | Wadah baru dan lembaran baru - itu yang diharapkan oleh Muhammad Faiz Na'aman selepas dia bebas daripada 'ikatan' keanggotaan Bersatu sejak Isnin lalu.

Pada masa sama dia juga mengakui sepanjang tempoh kira-kira tujuh tahun bersama parti itu, ada ketikanya dia terlanjur dalam kata-kata atau perbuatan.

Dalam banyak keadaan, kata Faiz, dia bertindak begitu demi mempertahankan parti yang pernah diyakininya.

"Kini saya semakin matang dan mahu membuka 'buku baru' dengan sesiapa saja yang pernah terasa semasa saya dalam Bersatu dulu.

"Saya juga meminta maaf dengan ikhlas kepada pihak-pihak yang pernah saya kritik," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini di Petaling Jaya, Selangor semalam.

Faiz yang sebelum ini selalu mengeluarkan kenyataan keras terhadap musuh politik Bersatu mengumumkan keputusannya meninggalkan parti tersebut baru-baru ini.

Antara lain ahli politik yang mendapat pendidikan dalam bidang perubatan dari Cyberjaya University College of Medical Sciences itu meragui hala tuju Bersatu.

Dia juga menunjukkan rasa tidak senang dengan keputusan yang diambil pemimpin parti terbabit dalam menyusun strategi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu ini.

Sebelum ini Faiz sering bersuara lantang untuk menyerang parti lawan.

Selepas meninggalkan Bersatu, Faiz secara terbuka menyatakan hasrat untuk menyertai PH, terutama melalui PKR yang dianggap memiliki banyak persamaan dengan idealismenya.

"Dengan membuka lembaran baru ini, saya harap pihak yang berkenaan boleh menerima saya secara terbuka, malah dapat membimbing saya.

"Selama ini saya memerlukan mentor dalam perjuangan politik," katanya lagi.

Pada masa sama Faiz bersikap terbuka jika ada pihak yang masih berasa sangsi dengan keterbukaannya menyertai sisi kerajaan selepas melihat apa yang pernah dilakukannya semasa dalam Bersatu.

Pun begitu dia menegaskan kesediaannya menyertai sisi yang berbeza ketika ini didorong keinginannya untuk berkhidmat dan menyumbang kepada negara.

"Buat masa ini saya masih bersikap neutral dan enggan membuat sebarang spekulasi," katanya.