Kini bersama Umno, mampukah DAP raih undi Melayu di Sekinchan?
Pada petang Ahad (6 Ogos), calon DAP Ng Suee Lim dan pasukannya melawat Kampung Sungai Leman Laut - perkampungan Melayu di Sekinchan, Selangor - untuk menghadiri sesi memasak bubur asyura.
Selepas membantu mengacau periuk bubur asyura, Ng menuju ke arah meja berhampiran, tempat kira-kira 10 ahli sayap wanita Umno sedang menyediakan bahan-bahan bubur tersebut.
Penduduk di kampung tersebut kebanyakannya berketurunan Jawa. Ketika berbual dengan penduduk kampung itu dalam bahasa Jawa, penyandang DUN Sekinchan itu bertanya sama ada mereka pernah mengundinya dalam pilihan raya sebelum ini.
Penduduk kampung menjawab dengan terus terang, “Mestilah tak, kita selalunya undi BN."
Ng menepuk meja dan ketawa; “Jujur sangat!”
Dia juga bergurau bahawa jika mereka tidak mengundinya, dia akan mengadu kepada Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos.
Ketika perbualan tersebut, datang seorang lagi ahli Umno dan mengusik Ng, "YB, kenapa berbisik-bisik kat sini, cari jodoh ke?”
Kenyataannya itu menyebabkan orang lain turut ketawa dan mengusik Ng dengan panggilan bapa mertua.
Bertahun lamanya, hubungan DAP dan Umno bagaikan minyak dan air, lebih-lebih lagi di Sekinchan yang sering menyaksikan penyokong kedua-dua parti tegang.
Namun, selepas PRU ke-15, kedua-dua parti itu membentuk pakatan baru di bawah kerajaan pentadbiran Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri.
Siapa sangka kini kedua-dua parti itu boleh menjadi akrab? Di Sekinchan, ahli sayap Umno cawangan itu mampu bergurau dengan Ng berhubung cari jodoh untuknya.
Gurauan “cari jodoh untuk pemimpin DAP" itu memberi harapan kepada DAP. Mampukah parti itu memanfaatkan sokongan dari Umno, untuk menembusi lebih dalam ke kawasan majoriti Melayu itu dan meraih undi Melayu?
Raih 10 peratus undi Melayu
Kampung Sungai Leman Laut merupakan antara kampung Melayu Sekinchan yang pernah menjadi kubu kuat Umno, di mana kini ramai penduduk kampung telah memberikan sokongan mereka terhadap Perikatan Nasional (PN).
Meskipun Ng telah menjadi Adun Sekinchan selama empat penggal, dia masih tidak mampu meraih sokongan mereka.
Kwi Ai Mei, ahli pasukan kempen Ng mengeluh bahawa Ng telah bekerja keras untuk masyarakat di situ selama bertahun-tahun, namun sokongan pengundi Melayu masih rendah.
Dia menyorot hari pengundian PRU ke-15 pada 10 bulan lalu ketika menjadi ejen kira undi dan menyaksikan "tsunami Melayu".
“Dalam satu peti undi, kita (Pakatan Harapan) hanya mendapat 30 undi, Jamal hanya mendapat 159 undi, manakala PN menang dengan 201 undi. Ramai orang kata Sekinchan kerusi selamat untuk DAP, mereka rasa selamat kerana mereka tinggal di kawasan Cina, tetapi jika mereka datang ke sini, mereka akan rasa lain,” katanya.
Kwi mengeluh bahawa di sebalik usaha gigihnya mempromosikan acara memasak bubur, malah mengedarkan risalah dari rumah ke rumah, hanya sekitar 20 ahli dari kedua-dua cawangan DAP dan Umno menghadiri majlis itu.
Periuk besar berisi bubur itu akhirnya dimasukkan ke dalam bekas plastik untuk diagihkan oleh ahli cawangan kepada jiran-jiran mereka.
Cabaran untuk sepenggal lagi
Sekinchan adalah kubu kuat DAP. Menurut Ng, ia mempunyai 51 peratus pengundi Cina dan 43 peratus Melayu.
Pada PRU ke-15, calon PH memperoleh 51.89 peratus undi di Sekinchan, manakala BN dan PN masing-masing memperoleh 24.32 peratus dan 23.35 peratus undi.
Analisis data pengundi PRU ke-15 mendapati, walaupun dalam senario yang lebih teruk (di mana 70 peratus undi BN beralih kepada PN, 65 peratus daripada pengundi PH dalam PRU ke-15 keluar mengundi), Ng boleh menang jika dia memperoleh 30 peratus undi BN.
Bagaimanapun, jika kadar keluar mengundi daripada pengundi PH adalah 65 peratus atau lebih rendah berbanding PRU ke-15, manakala kurang daripada 30 peratus pengundi BN mengundi Ng, dia mungkin kalah kepada calon PN Goh Gaik Meng.
Keupayaan rakan gabungan barunya, Umno dalam menarik undi masih belum diketahui. Oleh itu Ng tidak boleh terlalu bergantung kepada Umno untuk mendapatkan pemindahan undi 30 peratus atau lebih daripada BN.
Sebaliknya, pasukannya menumpukan untuk mengukuhkan sokongan sedia ada terhadap Ng dan memastikan penyokong PH keluar mengundi pada pilihan raya ini.
Justeru, sejak pilihan raya negeri bermula, Ng sering menyeru penyokong PH di Sekinchan pulang mengundi.
Semasa minggu pertama kempen, Ng menjalankan kempen dari rumah ke rumah di kampung Cina di mana dia akan memberi salam, berjabat tangan dan berkata: "Gelombang hijau sangat kuat, jangan lupa mengundi. Pastikan hubungi anak-anak anda untuk pulang mengundi!"
Dia memberitahu Malaysiakini, walaupun DAP dan Umno kini berada dalam satu gabungan, ia masih sukar untuk dia meraih undi Melayu.
"Kawasan Melayu sukar untuk dipecahkan. Mereka mungkin mesra dengan anda, tetapi mereka tidak pernah mengundi kita (PH).
"Kita masih perlu bergantung kepada penyokong teras. Lagipun, ini kali pertama bekerjasama dengan Umno, dan masih ada sedikit kebimbangan. Kami tidak tahu sama ada pengundi akan dipengaruhi oleh PN pada saat-saat akhir," katanya.
Ng juga menegaskan bahawa kebanyakan ahli Umno yang ditemuinya setakat ini adalah lebih tua, dan corak pengundian pengundi Melayu muda yang jauh dari kampung halaman mereka masih tidak dapat dikenal pasti.
Sekinchan mempunyai lebih seribu pengundi muda (berumur 18 hingga 20), membentuk 4.58 peratus daripada jumlah penduduk – satu faktor penting yang tidak boleh dipandang remeh.
Krisis bagi DAP pada masa akan datang?
Semasa tempoh kempen, kenyataan media Ng berulang kali menyebut perubahan dalam struktur penduduk Sekinchan. Secara khusus, bahagian pengundi Melayu meningkat daripada 43 peratus kepada 47 peratus manakala bahagian pengundi Cina menurun daripada 53 peratus kepada 51 peratus.
Ini memberi bayangan kebimbangan DAP yang lebih mendalam, terutamanya bagi pemimpin seperti Ng yang bertanding di kawasan pilihan raya campuran, apabila demografi pengundi berubah, formula kemenangan bergantung semata-mata kepada undi Cina mungkin tidak lagi berkesan pada masa hadapan.
"Saya percaya pasti akan ada beberapa kejayaan dalam mendapatkan undi Melayu kali ini... Krisis juga boleh jadi peluang. Jika berjaya, pada masa hadapan kita masih boleh menang menggunakan pendekatan ini, walaupun pengundi Melayu lebih ramai.
“Sekiranya pada masa akan datang Sekinchan menjadi kawasan majoriti Melayu, bukan lagi kawasan majoriti Cina, dan kita masih boleh berdiri teguh, itu adalah sesuatu yang luar biasa," katanya.
Ng berkata ini boleh memberi sinar untuk DAP, dan dirinya. Katanya, saingan di Sekinchan ini bertujuan untuk menguji kebolehlaksanaan terhadap pendekatan itu.
Sukar untuk pujuk akar umbi Umno
Noraini Teh, 51, merupakan ketua Umno cawangan Kampung Sungai Labu dan merupakan antara individu yang bertanggungjawab menyelaraskan program masak bubur itu.
Apabila dia memasuki pejabat Ng buat kali pertama selepas PRU ke-15, dia masih gementar dan berfikir, “Kalau dulu, Jamal akan marah saya."
Noraini kini telah menjadi individu yang mempertahankan kerajaan perpaduan.
Dia mengingatkan ahli Umno bahawa kerajaan negeri Selangor di bawah PH mempunyai banyak dasar kebajikan seperti baucar beli-belah percuma yang membolehkan pengundi membeli barangan runcit harian dan bukannya menerima beras percuma.
Noraini mengakui bahawa ia adalah dasar yang baik, “tapi saya seorang ahli BN, saya tidak boleh mengatakannya sebelum ini".
Noraini percaya pemimpin Umno cawangan perlu menunjukkan kepimpinan yang kuat untuk memujuk ahli cawangan dan menangani keraguan mereka supaya mereka menukar sokongan kepada calon PH.
Menurut Noraini, Umno cawangan Kampung Sungai Labu mempunyai 100 ahli parti. Di bawahnya, seramai 80 peratus telah bersetuju untuk mengundi Ng, manakala baki 20 lagi masih belum membuat keputusan.
Ketua sayap wanita Umno Pekan Sekinchan Sariah Ibrahim, 58, menyatakan kebimbangan. Cawangannya hanya berjaya mengalih sokongan separuh daripada ahli Umno untuk menyokong PH, manakala selebihnya mungkin mengundi PN.
"Ada di antara ahli Umno kata mereka tidak boleh mengundi calon Cina dari DAP, tetapi saya tanya balik, bukankah calon PN Goh Gaik Meng juga Cina?" katanya.
Tsunami Melayu
Goh mempunyai latar belakang industri pembinaan, dia adalah bekas ahli jawatankuasa Pemuda MCA, dan dia menyertai Bersatu pada Mac tahun ini, serta menjadi ahli sayap bukan bumiputera parti itu.
Pengerusi sayap ahli Bersatu itu, Dr Chong Fat Full menjelaskan sebab Goh diletakkan di Sekinchan adalah kerana demografi kaum.
Meskipun Chong tidak menyatakan dengan jelas, tetapi jelas mereka berharap dapat menarik undi Melayu dengan bergantung kepada jenama PN, pada masa sama menggunakan Goh untuk meraih undi Cina.
Jika "tsunami Melayu" tersebar lebih luas, walaupun Goh hanya dapat menarik sebahagian kecil undi Cina, dia mungkin mampu memenangi kerusi itu.
Sasaran Goh termasuk penyokong tegar MCA yang tidak berpuas hati dengan PH dan DAP.
Walaupun Goh tidak pernah turun padang di sekitar Sekinchan sebelum ini, dia mengetengahkan isu sara hidup tempatan yang menjadi kebimbangan kaum Cina di Sekinchan semasa kempen, seperti isu hak tanah kampung baru Cina, kesusahan pesawah dan gerai daging babi terbiar di pasar tempatan.
Ketika Ng berkempen di Bagan Sekinchan, seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Wong bertanya kepada Ng mengapa isu berkaitan tanah tidak dapat diselesaikan.
Wong memberitahu Malaysiakini, dia percaya Ng telah menjalankan tugasnya sebagai Adun tetapi dia kecewa dengan cara pasukan Ng menangani isu berkenaan.
Walaupun penduduk mempunyai sedikit rasa tidak puas hati, tetapi kelihatan seperti ia tidak akan menjejaskan undi mereka terhadap Ng.
Seorang lagi penduduk kampung yang tidak mahu namanya disiarkan mengeluh: "Walaupun isu pajakan tanah telah menyebabkan ramai orang kecewa, tanpa Ng, Sekinchan tidak akan seperti sekarang (menjadi tempat pelancongan terkenal negara)."
Selagi kadar keluar mengundi Cina tinggi dan terus menyokong PH, Ng dijangka mampu mempertahankan Sekinchan. Bagaimanapun, jika dia mendapat sokongan pengundi tradisional BN dan Umno, kedudukannya akan lebih terjamin.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai