Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sekat UtusanTV: Menteri 'tak arah, tak tahu-menahu'

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata dia tidak tahu menahu berkaitan sekatan terhadap portal UtusanTV.

“Saya tidak tahu-menahu berkaitan perkara ini.

”Kamu boleh rujuk kepada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia),” katanya.

Malaysiakini Isnin lalu melaporkan kerajaan menyekat akses ke laman web UtusanTV kepada sesetengah pengguna Internet.

Percubaan untuk mengakses laman web itu tertera notis yang "laman sesawang ini tidak dapat diakses di Malaysia kerana melanggar undang-undang negara".

Bercakap kepada pemberita dalam satu acara di Kuala Lumpur pagi ini, Fahmi berkata dia tidak menerima sebarang laporan berkaitan sekatan itu daripada SKMM.

“Saya akan tanya mereka lagi. Saya tidak beri arahan kepada SKMM untuk sekat sesiapa, tidak kira media atau media sosial.

“Tiada arahan dari saya,” katanya.

Ditanya sama ada dia boleh menjamin portal berita tidak disekat ketika siasatan sedang dijalankan, Fahmi berkata:

“Saya percaya media patut bebas.”

Dia juga bersetuju apabila ditanya sama ada mekanisme sekatan perlu dijalankan secara telus.

“Saya rasa ini idea yang bagus,” katanya.

UtusanTV ditubuhkan oleh bekas kakitangan Utusan Malaysia selepas syarikat induknya Utusan Melayu (Malaysia) Berhad ditutup pada 2019 kerana masalah kewangan.

Akhbar Utusan Malaysia dilancarkan semula pada tahun 2020 bawah pengurusan baru, dan tidak bergabung dengan UtusanTV.

Malaysiakini telah menghubungi SKMM sebelum ini dan masih menunggu jawapannya.

SKMM pada 8 Ogos memberitahu The Star bahawa mereka sedang menyiasat isu itu dan sekatan itu telah ditarik balik.

Kumpulan wartawan Gerakan Media Merdeka (Geramm) berkata SKMM mesti mempunyai mekanisme jelas untuk menyekat kandungan atas talian, terutama yang melibatkan portal berita.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) semalam turut menuntut sekatan terhadap UtusanTV ditarik balik segera.

Katanya amalan penapisan dalam kerajaan-kerajaan terdahulu tidak harus diteruskan oleh pentadbiran baru.

Ini kali kedua kerajaan menyekat portal selepas Malaysia Now pada Jun lalu.