Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | PRN: K'jaan perpaduan akan rebah cuma perang saraf PN

ULASAN | PRN enam negeri ini Sabtu ini 12 Ogos menguji banyak perkara dalam situasi politik alaf baru.

Pengundi senyap mempunyai peranan besar dan mereka adalah penentu kepada kejayaan samada PH/BN atau PN/PAS menang di enam negeri kelak.

Perkahwinan politik parti-parti yang bermusuhan dalam jangka waktu panjang dan sejauh manakah akan diterima akar umbi kesemua pihak dan maaf politik akan berlaku jika semangat kerajaan perpaduan dihayati.

Bolehkah ahli Umno mengundi calon DAP, pengundi PKR mengundi calon Umno dan begitulah sebaliknya.

Umno bukan musuh politik DAP berdasarkan kepada kedudukan DAP yang hanya bertanding di kawasan Cina. Namun, selepas sekian lama DAP dianggap musuh Melayu maka ia menjadi stigma yang mungkin sukar dicungkil dalam masa yang singkat.

Kebijaksanaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyelesaikan kesepakatan dan permusuhan lama ini akan dilihat buktinya nanti.

Umno dan DAP tidak bertembung walaupun ia berlaku secara tidak sengaja sebelum ini contohnya di Gelang Patah dan PRK Cameroun Highland.

Selebihnya keadaan ini tidak berlaku secara perancangan politik kerana MCA dan MIC merupakan musuh sebenar DAP. Namun, kini MCA dan MIC sudah berada dalam kerajaan perpaduan.

Jika tidak berlaku sabotaj dan prasangka politik maka penyatuan ini akan membuktikan PH/BN akan cemerlang walaupun pelbagai spekulasi dibuat oleh pemerhati politik bertauliah dan pemerhati politik jalanan.

Di Selangor, setiakawan Umno dan PH akan teruji dan jika dilihat jumlah undi yang diterima kedua parti ini sewaktu PRU lalu, Selangor memang selamat dan kemenangan dua pertiga tidak ada masalah untuk kerajaan PH Selangor.

Begitu juga di Kedah. Jika kesepakatan intim ini kemas, tidak mustahil Kedah juga akan terkalih sama.

Kewibawaan Muhamad Sanusi Md Nor yang digembar-gemburkan tidaklah sehebat mana kerana beliau tidak mendapat sokongan seperti yang digambarkan.

Sanusi bertukar menjadi liabiliti kepada PAS menjelang PRN Sabtu ini.

Kelantan umpamanya lebih bergantung kepada kekuatan umno kerana parti itu lebih utuh di peringakat bawah berbanding PH.

PAS walaupun dilihat yakin kekal di Kelantan namun kesungguhan kerajaan perpaduan memungkinkan keputusan upset berlaku.

Sekali lagi watak seperti Mohd Amar Nik Abdullah menjadi liabiliti apatah lagi keputusan mengenepikan anak Almarhum Tok Guru Nik Aziz sebagai calon PAS dilihat tidak bijak dan keterlaluan.

Jika gagal diterjemahkan dalam bentuk undi dan erti perpaduan sebenar gagal difahami maka akan timbul masalah dan kerelaan mengundi sesama komponen.

Isu siapa tunggang siapa akan terus di mainkan. Politik khianat akan terus segar sebagai bahan kempen. Isu DAP kuasai kerajaan akan terus diratib.

Pelbagai slogan dicipta sama ada ia bertujuan mengurangkan undi dengan menakutkan pengundi akan terus ditiup.

Tidak timbul parti mana lebih dominan dalam kerajaan perpaduan memandangkan tiada satu parti pun mempunyai majoriti mutlak yang menjadikan mereka kebal dan boleh bermaharajalela.

Lagipun pilihan raya DUN ini bukan gambaran bahawa ia sebagai petanda kerajaan persekutuan akan rebah.

Ia digembar-gemburkan sebagai perang saraf untuk pembangkang iaitu PN berusaha meraih undi sebagai persiapan menghadapi PRU16 kelak.

Mana lojiknya, sekalipun enam negeri dikuasai PN ia tidak menjadi syarat kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim akan bermasalah. Tidak sama sekali akan berlaku.

Apa yang mungkin digembar-gemburkan bahawa kekalahan ini sebagai titik mula penolakan rakyat kepada kerajaan yang ada.

Rakyat makin letih malah tidak bersedia untuk mengganggu perjalanan pentadbiran yang ada selepas Malaysia mengalami saat getir di waktu Covid-19.

Bukan senang bagi sebuah kerajaan meneruskan kecemerlangan selepas kita berhadapan dengan musibah yang menyerang secara global menyebabkan kehidupan normal sudah tidak berlaku.

PRN ini memperlihatkan pertembungan PH/BN dan PN/PAS dalam keadaan satu lawan satu. Keluarga PH/BN ialah Umno, DAP, Amanah manakala PN disertai PAS, Gerakan, Bersatu dan beberapa parti kecil lain.

Muhyiddin Yassin selaku presiden Bersatu dilihat seperti sedang “menunggang” PAS untuk meneruskan perjuangan parti Bersatu yang saya kira akan tenggelam menjelang PRU16 nanti.

Bersatu tidak memiliki kekuatan akar umbi melainkan terpaksa menumpang PAS yang sekian lama bertapak dalam politik negara.

Bersatu tanpa PAS bermakna parti itu akan berkubur dan kekuatan PN selama ini akan terus tenggelam.

Sementara PH/BN dan DAP masing masing memiliki kekuatan di peringkat akar umbi tanpa sangsi.

Umno memang sedang berhadapan dengan krisis namun parti itu tidak mungkin akan lenyap kerana mempunyai pengikut yang setia.

Tidak seperti Bersatu yang terumbang-ambing selepas pelbagai masalah melanda kepimpinan parti itu termasuklah soal integriti.

Kemungkinan besar, andainya PAS menarik diri dan keluar daripada PN parti Bersatu akan terpinggir kelak. Gerakan tidak nampak memiliki kekuatan malah DAP kini mengambil alih kepercayaan pengundi Cina.

Maka kesan daripada PRN ini lebih tertumpu kepada survival beberapa parti yang diragukan masa depan mereka, PAS selepas Tok Guru Haji Hadi dan Umno selepas Zahid Hamidi menjadi perhatian banyak pihak.


DAHLAN MAAMOR adalah penasihat Media Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.