Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Faktor Sanusi pacu PN, PH-BN berisiko hilang 7 kerusi di Kedah

Satu perkara dapat dilihat dengan jelas menjelang kemuncak pertembungan di Kedah.

Walaupun bukanlah semua di Kedah menyokong menteri besar sementara Muhammad Sanusi Md Nor, popularitinya dilihat melangkaui PN sendiri dan pada masa sama menjadi tarikan utama untuk pengundi menyokong gabungan itu.

Sementara itu, gabungan PH-BN dilihat bergelut dengan protes penyokong BN di beberapa kerusi - menjadikan sekurang-kurangnya tujuh kerusi yang dipegang mereka kini dalam bahaya, selain membataskan peluang di kerusi-kerusi lain.

Antara kerusi di mana kedua-dua faktor ini dapat dilihat adalah Gurun.

Sorakan penyokong menyambut pengumuman Sanusi sebagai calon DUN Jeneri

Di sini, jurukempen PH membayangkan kepada Malaysiakini hanya 60 hingga 70 peratus penyokong BN akan mengundi mereka pada Sabtu ini.

Beberapa pengundi yang sebelum ini mengundi BN pula memberitahu Malaysiakini mereka sama ada akan mengundi PN atau membuat undi rosak sebagai tanda tidak puas hati.

"Terus terang, saya pangkah dua-dua supaya undi rosak. Senang kan," kata seorang penjual ayam yang enggan dinamakan.

Sementara itu, calon PN Baddrol Bakhtiar menikmati sokongan ekoran perkaitan rapatnya dengan Sanusi.

Sanusi dalam perlawanan bola sepak persahabatan dengan Persatuan Bola Sepak Cina Kedah ketika kempen.

"Bila orang tengok Baddrol, mereka tengok Sanusi," kata seorang penyokong PN yang hanya ingin dikenali sebagai Fauzi.

Seorang pengundi muda bernama Alyaa juga menyuarakan sentimen sama.

"(Undi saya) untuk menteri besar Sanusi. Sebab dia rendah diri, maksudnya dia ada jiwa rakyat. Dia tak sombong," kata pengundi Gurun berusia 23 tahun itu kepada Malaysiakini.

Di Pedu pula, Pengerusi BN Kedah Mahdzir Khalid turut berdepan dengan penyokong BN yang tidak berpuas hati.

Di situ, perasaan itu dilihat berpunca daripada kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno.

"Saya kecewa. Kerjasama (PH-BN) dah dirancang. Sebelum PRU15, (kata) 'no Anwar, no DAP'. Dan kita tengok Zahid ada kes mahkamah," kata seorang ahli Umno yang enggan dinamakan.

Seorang lagi pengundi, Hashim berkata walaupun dia adalah anggota Umno, dia kini benci kepada parti itu. Menurutnya, dia tidak akan mengundi pada kali ini.

"Saya tak kalih dari Umno, tapi benci. Nak pangkah PN tak sanggup sebab saya di orang Umno. Dah jadi ahli Umno selama 30 tahun lebih," kata pekerja rencam berusia 54 tahun itu, yang menambah enam anaknya juga tidak akan keluar mengundi.


Baca: Tugas sukar buat Mahdzir di Pedu


Jika rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi BN di Gurun dan Pedu tidak ditangani, ia boleh menjejaskan peluang PH-BN dengan teruk.

Di Gurun, jika sokongan dari penyokong BN kepada PH kekal di tahap 60 hingga 70 peratus, PH berisiko kehilangan kerusi itu kecuali jika mereka dapat meyakinkan lima hingga 10 peratus pengundi PN untuk mengalihkan sokongan.

Di Pedu, kempen Mahdzir bermula dalam keadaan sukar memandangkan PN meraih 56 peratus undi di situ pada PRU15.

Jika pengerusi BN Kedah itu gagal mengumpul sepenuhnya kekuatan BN pada hari mengundi nanti, peralihan kecil pengundi PN kepada BN pun belum memadai untuk dia merampas kerusi itu.

Bagi kerusi-kerusi lain, jika purata 10 peratus pengundi yang menyokong BN pada PRU15 beralih kepada PN, gabungan PH-BN berisiko tewas di Alor Mengkudu, Bandar Baharu, Kota Siputeh, Pengkalan Kundor, Suka Menanti dan Sungai Tiang.

Senario ini juga akan tetap berlaku walau 10 peratus pengundi PN beralih kepada PH-BN.

Dalam senario ini, PH-BN hanya akan mendapat kelebihan di Sidam - kerusi yang 'dirampas' daripada PKR ekoran lompat parti pada 2020.

Impak populariti Sanusi dilihat lebih jelas di Lunas - kerusi DUN yang disasarkan PKR selepas terlepas pada 2020, juga kerana lompat parti.

Penduduk kampung memasang bendera PN untuk kempen

Rosli Abdul, 47, memiliki tanggapan negatif terhadap calon PN di Lunas, Khairul Anuar Ramli setelah videonya menolak seorang individu tular.

Namun, Rosli berkata dia tetap akan mengundi PN kerana Sanusi.

"Itu bukan cara seorang pemimpin. Kita nak pemimpin yang ikhlas. Kita nak calon yang tak ada masalah.

"Tetapi sebab saya hormat Sanusi, saya tak ada pilihan. Saya kena undi Khairul Anuar," katanya.

Selepas video itu tular, Khairul Anuar mendakwa ia rakaman peristiwa tiga tahun lalu, dan dia telah didakwa dan didapati tidak bersalah di mahkamah.


Baca: PH nak rampas kembali kerusi 'katak lompat' di Kedah


Begitu juga dengan Md Yusni Md Razli yang akan mengundi calon Lunas itu kerana Sanusi.

"Sanusi dari keluarga susah, dia faham kesusahan rakyat. Ada orang kata Sanusi 'loqlaq' tetapi (sebenarnya) tak Memang cara orang Kedah cakap lagu tu.

"Saya nak undi PN sebab Sanusi," katanya lagi.

Trend sama dapat dilihat di Pedu, di mana Mahdzir dalam usaha untuk membuat kemunculan semula di DUN.

"(Saya mengund) kerana Sanusi," kata seorang pekerja rencam berusia 56 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Zul, ketika ditanya Malaysiakini jika dia mengundi untuk PN atau Sanusi.

Sanusi menyampaikan ucapan di Kuala Kedah

Bagaimanapun bukan semua orang Kedah mempunyai tanggapan yang sama terhadap Sanusi, terutama penyokong BN dan PH.

Pengarah pilihan raya PH itu telah membentuk imej sebagai seorang orator yang lancang dan lepas cakap, yang dilihat ramai sebagai kasar.

Para penyokong bergambar bersama Sanusi dalam satu acara kempen

Namun bagi sesetengah peminatnya, seperti Fauzi yang mengundi di Gurun, itulah yang menjadi sebab mengapa Sanusi disukai.

"Orang cakap dia 'loqlaq', cakap kasar, tetapi kena fikir dulu.

"Kalau lawan dengan harimau, anda tak boleh jadi kucing. Kalau tak lawan macam itu (seperti Sanusi), tak boleh naikkan (isu). Suara rakyat akan hilang.

"Dan Sanusi adalah suara kita. Walaupun dia 'loqlaq', cara 'loqlaq' itu buat orang dengar. Apa yang dia cakap itu betul, walau nampak macam salah," katanya kepada Malaysiakini.

Bagi Fauzi dan yang lain, Sanusi malah boleh menjadi perdana menteri di masa akan datang.

Keyakinan itu turut dirasai seorang pesara polis yang menyokong kerajaan persekutuan.

"Misalnya kalau dia tak timbulkan isu yang pelik, saya jangka dia boleh jadi perdana menteri yang kesebelas (selepas Anwar)," kata Hashim Hussein.

kalao contohnya dia x timbulakn isu pelik2 sy jangka dia blh jadi perdana mentri yg ke sbeelah.

Bendera PN dan PAS menjadi terowong sementara di Sik

Sementara itu, isu perundangan yang dihadapi Sanusi - termasuk dua pertuduhan menghasut kerana didakwa menghina institusi diraja - serta usaha kerajaan untuk menjejaskannya dengan membangkitkan isu perlombongan haram unsur nadir bumi (REE) di Sik, dilihat tidak memberi kesan kepada pengundi.

Beberapa pengundi yang ditemui Malaysiakini tidak menunjukkan pemahaman menyeluruh berkenaan isu-isu ini, mahupun mendapatinya sesuatu yang bermasalah.

"Kita tak tahu dia salah atau tak (berhubung tuduhan menghasut, pasal kita tak tahu kenyataan (berkaitan) lagi, mahkamah tuduh apa pun (kita) tak tahu, yang tahu ia berkaitan menghasut," kata Zambri Zainol yang mengundi di Jeneri.

Dalam kempen berteraskan figura seumpama ini, sebarang peluang untuk PH-BN mendapat sokongan PN terletak di bahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar telah meluangkan masa sehari berkempen di Kedah pada Jumaat lalu. Dia dijangka ke sana sekali lagi pada Jumaat ini, iaitu hari terakhir kempen.

Penyokong PN mengangkat tangan meniru gaya Sanusi yang menyindir Anwar.

Bagaimanapun penganalisis politik Mohd Azizuddin Mohd Sani optimis PH dan BN mampu meningkatkan sokongan di Kedah.

Sementara mengakui sentimen di lapangan yang kuat menyebelahi PN, anak jati Kedah dan pensyarah Universiti Utara Malaysia itu berkata dia melihat ada peralihan sokongan dari PN kepada PH-BN sepanjang kempen.

Ia terutama selepas kunjungan pertama Anwar pada minggu lalu.

"Rakyat nak tengok dan jumpa dia. Nak dengar (apa yang ingin diperkatakan Anwar)," katanya, namun mengakui masih terlalu awal untuk menilai sejauh mana impak itu akan diterjemahkan di peti undi nanti.


Baca: Dari Jeneri ke Alor Setar - Usaha Anwar lawan 'gelombang Sanusi' di Kedah


Sementara itu, Selasa lalu Anwar mengumumkan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan yang berkuat kuasa keesokannya.

Pengumuman itu dijangkadapat memberi sedikit impak untuk meraih sokongan di Kedah - yang dikenali sebagai jelapang padi negara.

PN menggunakan siaran langsung media sosial untuk menyiarkan ceramah Sanusi

Satu lagi faktor yang sukar ditentukan adalah pengundi luar yang hanya akan kembali ke Kedah Sabtu ini.

Seorang pengundi BN di Jeneri - kerusi yang disandang Sanusi - menyuarakan kebimbangan terhadap Malaysiakini berkenaan pengundi muda yang tinggal di luar Kedah berkenaan realiti di negeri itu, terutama di pedalaman, yang menjadikan mereka lebih cenderung ke arah PN.

Simulasi ringkas oleh Malaysiakini menunjukkan jika PH dan BN mahu merampas Kedah, mereka perlu mendapat sekurang-kurangnya 20 peratus peralihan sokongan daripada BN, dan pada masa sama memastikan kadar keluar mengundi yang tinggi.

Laporan oleh Isabelle Leong, Raveena Nagotra, Zikri Kamarulzaman


BACA LANJUT: PRN: Sampai mana gelombang hijau?