Jepun peringati ulang tahun ke-78 bom atom di Nagasaki
GLOBAL | Jepun pada Rabu memperingati mangsa serangan bom atom di bandar Nagasaki 78 tahun lalu dengan rayuan kepada negara-negara kuasa nuklear, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Datuk Bandar Nagasaki Shiro Suzuki berkata negara kuasa nuklear harus "menunjukkan keberanian" dan menjauhi idea penggunaan nuklear sebagai senjata.
Kenyataan Datuk Bandar itu dibuat ketika upacara peringatan diraikan secara sederhana kerana ancaman taufan.
Disebabkan ribut, tetamu dari dalam dan luar negara termasuk Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, tidak dapat menghadiri majlis itu.
Buat pertama kali sejak 1963, acara peringatan itu tidak diadakan di Taman Keamanan, tetapi di dewan pameran di bandar itu.
Mereka yang hadir pada majlis itu bertafakur pada 11.02 pagi (0202 GMT) untuk menandakan masa pada 9 Ogos 1945, apabila bom atom digugurkan oleh AS dan meletup di Nagasaki.
Di Nagasaki sahaja, kira-kira 70,000 orang terbunuh akibat kesan langsung manakala 75,000 yang lain cedera.
Tiga hari sebelum itu, AS telah menghancurkan Hiroshima dengan bom atom yang lain. Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945.
- Bernama-dpa
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai