Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Najib mohon AG semak kes RM6.6 bilion IPIC

Bekas perdana menteri, Najib Razak minggu lalu menghantar surat representasi kepada Peguam Negara (AG) berhubung kes pecah amanah (CBT) terhadapanya melibatkan RM6.6 bilion yang dikaitkan dengan Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC).

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi daripada pasukan peguam Najib minggu lepas.

Mengikut undang-undang, surat representasi adalah satu kaedah untuk tertuduh meminta pendakwa raya menyemak semula kes jenayah terhadapnya, seperti melalui pengguguran pertuduhan atau untuk tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang lebih ringan.

Sebelum ini, bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah juga telah menghantar representasi kepada AGC berhubung kes yang sama.

Berikutan itu hakim perbicaraan Muhammad Jamil Hussin menetapkan 12 Sept ini untuk sebutan semula agar pihak pendakwa raya memaklumkan status terkini representasi kedua-dua tertuduh.

Hari ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan bagi pihak pendakwaan bagi memaklumkan kepada mahkamah mengenai status terkini representasi Irwan.

Jamil melapangkan tarikh perbicaraan terhadap Irwan dan Najib pada 3 April lalu bagi membolehkan AGC memutuskan sama ada membenarkan representasi Irwan.

Representasi itu dibuat susulan perkembangan pada Februari tahun ini, yang menyaksikan Kementerian Kewangan Malaysia mengumumkan bahawa IPIC Abu Dhabi dan unitnya Aabar Investments PJS bersetuju membayar AS$1.8 bilion (RM8.06 bilion) untuk menyelesaikan pertikaian undang-undang melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Disaksikan Najib dan Irwan dari kandang tertuduh semasa prosiding di mahkamah hari ini, Saifuddin memohon tarikh sebutan sekitar satu setengah bulan dari hari ini memandangkan AGC sedang meneliti representasi kedua-dua tertuduh, yang melibatkan banyak dokumentasi.

Peguam bela Irwan, K Kumaraendran tidak mengemukakan bantahan terhadap permohonan penangguhan itu, tetapi memohon tarikh sebutan awal dalam tempoh sebulan dari hari ini.

Kumaraendran berkata ini kerana anak guamnya telah menghantar representasi lebih awal tiga bulan lalu.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah juga tidak mengemukakan bantahan terhadap permohonan penangguhan oleh pihak pendakwaan, sambil meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan awal dalam tempoh sebulan dari hari ini.

Jamil kemudian menetapkan 12 Sept untuk sebutan kes itu.

Mengaku tidak bersalah

Kes jenayah membabitkan Najib dan Irwan adalah berkenaan urusan 1MDB dengan IPIC, khususnya penyelesaian pada 2017 antara kedua-dua pihak apabila 1MDB yang bermasalah membayar AS$1.2 bilion kepada syarikat milik kerajaan Abu Dhabi itu.

Ini selepas IPIC menarik diri daripada perjanjiannya pada 2015 untuk menyelamatkan 1MDB, yang, pada masa itu, bergelut untuk membayar pinjaman bank.

1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). Najib adalah menteri kewangan ketika itu manakala Irwan pernah berkhidmat di bawahnya di kementerian itu.

Pada 25 Okt 2018, Najib dan Irwan mengaku tidak bersalah atas di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan pecah amanh berjumlah RM6,636,065,000 dana milik kerajaan tersebut.

Najib dan Irwan didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama, Najib dan Irwan didakwa secara bersama - atas kapasiti mereka sebagai menteri kewangan dan ketua setiausaha Perbendaharaan yang diamanahkan RM1.2 bilion milik kerajaan Malaysia - dengan melakukan pecah amanah terhadap dana itu.

Bagi pertuduhan kedua, Najib dan Irwan didakwa secara bersama - atas kapasiti yang sama seperti jawatan mereka ketika itu - melakukan pecah amanah sebanyak RM655 juta milik kerajaan Malaysia yang diamanahkan kepada mereka.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka dituduh bersama - atas kapasiti mereka sebagai penjawat awam dan memegang jawatan yang sama - melakukan pecah amanah sebanyak RM220 juta milik kerajaan dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan - di bawah “Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)” - yang diamanahkan kepada mereka.

Kedua-duanya juga didakwa secara bersama - manakala dalam kapasiti yang sama - dengan CBT sebanyak RM1.3 bilion, yang diamanahkan kepada mereka oleh Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan di bawah "Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)" milik kerajaan Malaysia.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka didakwa bersama, atas kapasiti yang sama - melakukan pecah amanah sebanyak 1,950,000,000 yuan China (berjumlah RM1,261,065,000) dan RM2 bilion, milik kerajaan.

Najib dan Irwan didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, disebabkan umur Najib dan Irwan pada masa ini masing-masing melebihi 50-69 dan 66 - serta pertuduhan yang tidak melibatkan kesalahan seksual - kedua-duanya akan dikecualikan daripada rotan jika sabit kesalahan.