Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PRN: 'Ahli politik patut suarakan isu tempatan, bukannya isu nasional'

Ahli-ahli politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang pihak sepatutnya menyuarakan isu-isu tempatan berbanding nasional sewaktu berkempen dalam pilihan raya negeri (PRN), kata Pengerusi Bersih Thomas Fann.

Dalam satu forum dalam talian pada malam tadi, Fann berkata ahli politik sepatutnya menekankan isu-isu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sekiranya menang, seperti isu berkaitan tanah, agama di negeri dan perkara yang melibatkan kerajaan tempatan.

“Itu yang penting… yang akan beri impak lebih direct (langsung) kepada kehidupan kita. Ini adalah satu situasi yang baru untuk kita semua.

“Tapi dengan naratif-naratif pimpinan nasional, yang dua pihak keluar berkempen macam (PRN) ini satu PRU (pilihan raya umum), amat sukar untuk kita bagitahu orang ‘hei, ini tak sama (dengan PRU) - ini PRN’,” katanya dalam forum bertajuk ‘Referendum PMX atau Kerajaan Negeri.’

Fann kemudian bertanya kepada wakil dari PN Nazrul Hakim Nazir yang sebelum itu mendakwa rasa tidak puas hati rakyat terhadap kegagalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kos sara hidup yang meningkat menyebabkan rakyat ingin menterjemahkannya dalam bentuk undi.

“Kalau saya ada soalan untuk saudara Nazrul, apakah impak kepada kos sara hidup kalau ada pertukaran dalam kerajaan negeri? Apa kerajaan negeri boleh buat untuk turunkan kos sara hidup? Tak banyak, sebab dasar-dasar polisi, ekonomi dikuasai oleh kerajaan persekutuan.

“Jadi itu yang kita nak tahu. Orang amat keliru mengapa PRN ini, tapi naratif-naratif semua adalah isu nasional,” katanya.

Hannah Yeoh

Selain Fann dan Nazrul, forum itu turut disertai oleh pemimpin DAP Hannah Yeoh sebagai wakil dari Pakatan Harapan (PH) dan Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan yang juga calon DUN Kajang.

Nazrul menggantikan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari yang difahamkan tidak dapat menyertai forum tersebut kerana menghadiri mesyuarat parti.

Naratif kerajaan gagal

Nazrul sebelum itu mengulas berhubung naratif ‘gelombang hijau’ yang sering dikaitkan dengan PAS. Menurutnya, ia merupakan satu naratif jahat, yang seolah-olah membawa mesej kepada bukan Islam bahawa PAS membawa satu politik perkauman dalam PN.

Jelasnya, ia sebenarnya satu manifestasi kebangkitan rakyat yang berasa tidak puas hati dengan prestasi kerajaan pada hari ini.

“Sepanjang kita ada di bawah (kajian lapangan), sokongan rakyat terhadap PN lebih daripada apa yang berlaku pada PRU ke-14 terutamanya ke kawasan-kawasan Melayu, kawasan-kawasan B40, dan Bumiputra tak puas hati. Bukan tak puas hati sebab tak suka DAP atau PKR tapi sebab keperitan yang ada sekarang.

“Kita tak boleh nafikan kos sara hidup masih tinggi, kita tak boleh nafikan banyak janji yang dilaungkan oleh PH tak dilaksanakan sekarang. Ini semua akan jadi referendum prestasi kerajaan perpaduan dalam PRN,” katanya.

Meskipun mengakui bahawa parti politik harus menekankan berhubung isu-isu tempatan dan bukannya nasional, dia berpendapat ia merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan - menyentuh isu nasional dalam kempen PRN kerana kerajaan persekutuan tertubuh hanya sembilan bulan lalu dan masih dalam penilaian rakyat.

Sebagai respons, Yeoh yang pernah menjadi Adun Subang Jaya selama 10 tahun membalas naratif kegagalan kerajaan persekutuan dan kegagalan Anwar adalah naratif untuk menutup kegagalan kerajaan negeri.

Yeoh memetik isu air di Kelantan sebagai salah satu contoh.

“…ini adalah tanggungjawab kepada semua calon untuk bawa balik fokus pilihan raya untuk pastikan bila mereka pilih Adun itu, mereka tahu apa tanggungjawab Adun dan undi it adalah tanggungjawab kerajaan negeri yang baru,” tegas Yeoh.

Dia turut menekankan bahawa inisiatif ‘rahmah’ yang diperkenalkan bekas menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Allahyarham Salahuddin Ayub telah membawa banyak manfaat kepada rakyat, di mana rata-ratanya berpuas hati dengan harga barangan asas yang berpatutan.

S Arutchelvan

Arutchelvan yang turut bersetuju bahawa isu nasional sering dimainkan dalam PRN ini, berkata pengundi yang ditemuinya seperti di Selangor sering bertanyakan kepadanya adakah kerajaan persekutuan dan perdana menteri akan bertukar sekiranya PN menang besar dalam PRN.

Katanya, rakyat terpengaruh dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh sesetengah pemimpin parti yang menyentuh isu nasional sewaktu berkempen.

Pertukaran kerajaan pusat selepas PRN menjadi salah satu naratif yang dimainkan oleh pemimpin PN, meskipun pengundian pada 12 Ogos ini hanya melibatkan DUN di enam negeri.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini mendakwa kemenangan PN dalam PRN di enam negeri kali ini akan membolehkan berlaku perubahan dalam kerajaan persekutuan.

Sementara Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu turut memberi gambaran sama dengan mengatakan ada proses undang-undang yang membolehkan pertukaran kerajaan di peringkat pusat berlaku sekiranya PN menang PRN meskipun terdapat akta antilompat parti.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata tiada peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keputusan PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini akan membawa perubahan kepada pentadbiran kerajaan persekutuan.

Azalina juga berkata Akta Anti Lompat Parti juga telah diwartakan menerusi pindaan Perlembagaan sekali gus menghalang Ahli Parlimen menukar parti atau membawa kerusi yang dimenangi pada pilihan raya di bawah parti lain masuk ke parti lain.