Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Subsidi harga padi naik, khabar gembira pesawah Kedah

Pengumuman kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan kepada RM500 per tan mulai esok merupakan khabar paling gembira buat pesawah di Kedah, negeri yang diberi julukan jelapang padi.

Bagi Mohammad Hafidz Ismail, 39, dari Kampung Teluk Tawar, Yan, yang sudah mengusahakan tanaman padi sejak 12 tahun lepas, kenaikan kadar subsidi itu dapat meningkatkan pendapatan pesawah dan membantu meringankan kos pengurusan tanaman padi.

“Suara golongan pesawah sejak akhir-akhir ini didengari perdana menteri.

“Apabila kita nyatakan keluhan, kesusahan dihadapi, kerajaan mengambil langkah yang cepat untuk mencari jalan penyelesaian bagi membantu pesawah antaranya dengan menaikkan kadar subsidi ini,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kenaikan SSHP berkenaan yang merupakan kenaikan terbesar dalam sejarah negara.

Anwar berkata dengan kenaikan itu, pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per tan yang akan meningkatkan pendapatan pesawah negara ini.

Ahmad Bakar, 71, dari Alor Setar, yang lebih 30 tahun mengusahakan tanaman padi berkata kenaikan kadar skim itu sudah pasti membantu ramai pesawah di Kedah.

“Kedah terkenal sebagai negeri jelapang padi, jadi kebanyakan orang di sini mengusahakan tanaman padi dan ia merupakan sumber pendapatan mereka.

“Kenaikan kadar skim ini dapat membantu menampung kos sara hidup.

“Ini juga dapat menaikkan semangat pesawah untuk terus berusaha dalam memastikan keterjaminan makanan negara iaitu beras mencukupi dan terus meningkat,” katanya.

Syahmi Azhar, 34, dari Alor Setar yang membantu mengusahakan sawah milik bapanya berkata kenaikan kadar SSHP memberi semangat buat pesawah muda sepertinya untuk mengusahakan tanaman padi.

“Ini mungkin menarik ramai golongan muda usahakan sawah padi kerana hasil yang boleh diperoleh, sekali gus membantu menaikkan ekonomi negeri dan negara,” katanya.

- Bernama