Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'Ugutan': Calon PRN dinasihat tak keluar kenyataan tanpa bukti - Ayob Khan

Semua calon pilihan raya dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mendakwa menerima ugutan tanpa mempunyai sebarang bukti, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata bagaimanapun, sekiranya mereka mempunyai maklumat dan bukti berkenaan, calon seharusnya menyalurkan terus kepada polis untuk memudahkan tindakan susulan diambil.

“Kalau ada maklumat salurkan kepada polis. Polis akan ambil tindakan.

"Ini bukan isu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Sesiapa pun (maklumkan kepada polis). Semua calon kalau ada maklumat mengenai ugutan, minta (bantuan) polis. Kita akan ambil tindakan.

“Jangan mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang bukti yang mengatakan ada ugutan.

“(Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain) pun dah bagi komitmen untuk pastikan pilihan raya ini berjalan lancar kerana isu keselamatan di bawah polis,” katanya ketika ditanya tentang dakwaan ugutan yang diterima Menteri Besar Kedah itu, selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Semalam, Razarudin berkata Muhammad Sanusi yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri pada Sabtu ini, mempunyai pengawal keselamatan sendiri iaitu seorang anggota polis, justeru keselamatan pemimpin itu adalah terjamin.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata polis sekali lagi memberi amaran kepada mana-mana pihak khususnya calon yang bertanding agar tidak memainkan isu berkaitan 3R (raja, agama dan kaum) dalam kempen PRN di enam negeri.

PRN ini melibatkan 36 kerusi DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40); Selangor (56) serta 36 DUN di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ayob Khan berkata sebanyak 518 laporan diterima polis Selangor berkaitan PRN dengan 20 kertas siasatan dibuka setakat 6 Ogos lepas dan pihaknya belum menerima sebarang laporan berkenaan isu 3R sepanjang tempoh kempen PRN dilaksanakan.

Mengulas proses undian awal di Selangor hari ini, pihaknya yakin peratusan mengundi dalam kalangan anggota dan pegawai polis akan lebih tinggi dan tidak kurang daripada peratusan yang direkodkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 iaitu 97 peratus memandangkan semua arahan telah dikeluarkan untuk menjalankan tanggungjawab itu.

- Bernama