Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Arul isytihar aset, termasuk motosikal EX5 'tak ternilai'

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan mencabar pesaingnya di DUN Kajang di Selangor untuk mengisytiharkan aset mereka.

Dalam video bertajuk “Asset Declaration - Nothing to Hide”, dia berkata pengisytiharan aset penting kerana ia dapat menunjukkan kejujuran calon.

"PSM melakukannya setiap kali kami bertanding pilihan raya agar orang ramai boleh memantau calon mereka.

"Ada yang melakukan pengisytiharan aset kerana kerajaan memaksa mereka berbuat demikian. Namun PSM satu-satunya parti yang secara sukarela mengisytihar aset sebelum pilihan raya," kata Arutchelvan.

Pengisytiharan yang dibuat Arutchelvan menyatakan jumlah asetnya berjumlah RM324,000 - antaranya rumah bernilai RM200,000 dan kereta Proton Saga 1.3 berharga RM27,000.

"Dan tentunya motosikal Honda EX5 kegemaran, yang diberikan kepada saya, dengan nilai RM500. Namun bagi saya ia tidak ternilai," katanya.

Arutchelvan juga mendedahkan dia ada dua akaun bank, antaranya akaun di Maybank dengan simpanan lebih RM86,000.

"Namun kebanyakan wang dalam akaun ini bukan milik saya. Ia milik 'Tabung Bantuan Rakyat' yang saya isytiharkan setiap tahun ketika perhimpunan agung tahunan," katanya.

Dia berkata satu lagi akaun miliknya adalah di Bank Simpanan Nasional berjumlah RM2,752 yang memang miliknya.

"Saya tak bekerja di bawah sesiapa...(Saya) dibayar oleh isteri. Dia sumbangkan RM2,000 sebulan untuk kerja aktivisme saya.

"Kini kami mencabar dua lagi calon di Kajang untuk isytihar aset mereka," katanya lagi.

DUN Kajang dipegang PKR sejak 2008 dan Dalam PRN ini, Arutchelvan akan berdepan David Cheong dari PH dan Liw Sin Kim dari PH.

Pada minggu lalu, Arutchelvan menyatakan komitmen untuk tidak menggunakan isu kaum dalam kempennya, dengan berkata PSM memberi tumpuan terhadap kelas sosial berbanding warna kilit.

"Saya tak akan main isu kaum untuk raih undi atau sokongan rakyat. Saya tak akan gunakan sebarang unsur perkauman dalam semua kegiatan kempen pilihan raya.

"Kumpulan sasar kami bagi manifesto dan usaha adalah masyarakat yang tertindas, tanpa mengira latar belakang kaum," katanya seperti dipetik.