Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | REE, geopolitik China dan tanah air

Politik dan perang adalah dua medan untuk memperkenalkan sesuatu benda baharu.

Internet antara benda baharu yang muncul selepas Perang Dunia ke-2. 

Ia menjadi ‘awam’ setelah berakhirnya Perang Dingin. Sebelum itu ia hanya menjadi ‘kemudahan’ ketenteraan, bukan komersial. 

Dalam konteks lebih kecil seperti Malaysia, rakyat hanya tahu tentang Lynas apabila pembangkang menggasak kerajaan BN bermula sekitar tahun 2012. 

Tapi apa sangat yang kita tahu tentang Lynas pada masa itu kecuali propaganda pembangkang mengenai kesan bahaya radioaktif kepada rakyat dan alam buana.

Setelah pembangkang jadi kerajaan, isu Lynas senyap malah Wong Tack yang diangkat oleh DAP sebagai hero Lynas juga kini sudah diterajang keluar.

Habis Lynas, kini kita dengar tentang unsur nadir bumi (REE). Kisah REE ini juga meletup kerana politik, bukan kerana kempen jualan atas talian oleh shopee.

Percayalah, semua tentang REE dan dakwaan ke atas MBI Kedah, adalah replika baharu seperti Lynas. Semua ini hanya propaganda politik, retorik politik.

Di belakang retorik REE, adalah suatu ‘politik besar’ yang melibatkan kuasa geopolitik dunia. 

Hari ini REE menjadi satu ‘bahan mineral’ yang menjadi pengganti kepada bijih timah atau getah yang pernah menjadi elemen dan tarikan penjarahan ekonomi dan politik eropah ke atas tanah air kita.

Sebelum tahun 1965 (Perang dingin), terdapat hanya sedikit permintaan untuk unsur nadir bumi (REE). 

Ketika itu, kebanyakan bekalan dunia dikeluarkan di India dan Brazil. Sekitar tahun 1950-an, Afrika Selatan menjadi pengeluar utama yang menghasilkan monazite, salah satu unsur penting nadir bumi.

Sementara itu di Amerika, lombong Mountain Pass di California menghasilkan sejumlah kecil oksida nadir bumi daripada karbonatit precambrian.

Buat pertama kalinya, permintaan untuk unsur nadir bumi meningkat sekitar 1960-an apabila TV warna dihasilkan dan memasuki pasaran secara komersial buat kali pertama. 

Di sebelah timur pula, China hanya mula mengeluarkan sejumlah besar REE ini pada awal 1980-an dan kemudian menjadi pengeluar terbesar dunia pada awal 1990-an. Ketika ini perlumbaan gergasi syarikat teknologi seperti Apple dan Microsoft sedang berkembang secara global. 

Harga potong kepala

Mulai saat itu, China mula mengukuhkan pegangannya di pasaran nadir bumi dunia. Mereka menjual nadir bumi pada harga yang sangat rendah (potong kepala) sehingga lombong di Amerika dan banyak lagi di seluruh dunia tidak dapat bersaing dan tutup kedai.

Pada masa yang sama, permintaan dunia semakin meningkat apabila logam nadir bumi ini direka bentuk menjadi pelbagai jenis produk untuk sistem pertahanan, penerbangan, perindustrian dan elektronik bagi pengguna awam. 

China memanfaatkan keadaan ini dan kedudukan dominannya dengan mula menyekat eksport dan membenarkan harga unsur nadir bumi meningkat ke paras yang cukup luar biasa. Beginilah China mencatur harga pasaran dunia. 

Selain menjadi pengeluar bahan nadir bumi terbesar di dunia, China juga merupakan pengguna dominan dan pengeluar penting. 

Huawei dan pelbagai lagi jenama sains dan teknologi dimaju dan dikeluarkan oleh China, termasuk yang tiada kaitan dengan REE iaitu durian Musang King. 

Mereka menggunakan nadir bumi terutamanya dalam pembuatan produk elektronik untuk pasaran domestik dan eksport. 

Ada kemungkinan keengganan China untuk menjual nadir bumi mereka adalah kerana keperluan dan peningkatan di sektor pertahanan yang penting untuk geopolitik mereka, khususnya di Laut China Selatan.

Penguasaan China memuncak pada sekitar tahun 2010 apabila mereka mengawal kira-kira 95% daripada pengeluaran nadir bumi dunia secara dominan, dan harga untuk nadir bumi meningkat lebih 500% dalam beberapa tahun sahaja. 

Tetapi, walaupun China adalah peneraju dunia dalam pengeluaran nadir bumi, mereka sebenarnya hanya mengawal kira-kira 36% daripada rizab REE dunia. Ini disedari oleh China.

Bermula 2011, lombong di Australia mula mengeluarkan nadir bumi, mereka membekalkan kira-kira 2% hingga 3% daripada pengeluaran dunia. 2-3 % ini nilainya berbilion dolar. 

Penilaian sumber mineral baharu yang dijalankan oleh kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan bahawa sumber REE Amerika dan China adalah jenis utama iaitu Bastnasite dan Monazit. 

Tetapi simpanan Monazit yang merupakan segmen kedua terbesar selepas bastnasite rupanya ada di luar dua negara itu, salah satunya di Malaysia dan beberapa negara lain.

Ini menjadikan tanah air yang sedang kita pijak ini adalah lubuk emas yang ada simpanan REE yang besar, yang menjadi perhatian dua kuasa ekonomi dunia iaitu China dan Amerika.

Permintaan global untuk kereta, elektronik, teknologi kesihatan, tenaga boleh diperbaharui menjadi pemangkin ekonomi, ia dijangka meningkat dengan pesat dalam dekad akan datang. 

Kerana itu, Mahathir Mohamad mengingatkan kita bahawa kita harus kembali mengikat kesatuan bangsa agar tanah air ini tidak hilang dijarah sekali lagi oleh kuasa asing yang menggunakan parti-parti politik tertentu untuk menguasai tanah dan lombong yang menyimpan harta buat masa depan anak cucu kita. 


MAHDZIR IBRAHIM ialah ahli majlis tertinggi, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.