Anak Hun Sen dilantik PM baru Kemboja
Raja Kemboja Norodom Sihamoni pada Isnin melantik Hun Manet sebagai perdana menteri negara itu yang baru selepas penyandang, Samdech Techo Hun Sen mengumumkan beliau meletak jawatan.
Raja menandatangani dekri diraja untuk melantik Hun Manet, 45, sebagai PM baru untuk kerajaan selama lima tahun berikutan permintaan daripada Hun Sen.
"Perdana menteri Kerajaan Kemboja yang dilantik mempunyai tugas untuk mempersiapkan anggota Kabinet dalam rangka meminta pengesahan daripada Dewan Negara," kata Sihamoni dalam dekri diraja.
"Dekri diraja berkuat kuasa dari tarikh ia ditandatangani."
Hun Manet, bersama anggota Kabinet barunya, perlu memenangi undi percaya di Dewan Negara yang dijadualkan pada 22 Ogos untuk secara rasmi menjadi PM baru dan beliau dijangka mengangkat sumpah pada hari yang sama.
Pelantikan itu dibuat selepas Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Hun Sen mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya umum 23 Julai, memperoleh 120 daripada 125 kerusi di Dewan Negara.
Hun Manet ketika ini merupakan ahli Jawatankuasa Tetap CPP dan timbalan ketua komander Angkatan Tentera Diraja Kemboja.
Hun Sen mengumumkan pada 26 Julai bahawa beliau akan berundur sebagai PM selepas memegang jawatan itu selama lebih 38 tahun, menyerahkan tugas pemerintahan kepada anak sulungnya, Hun Manet.
Namun, pemimpin berusia 71 tahun itu berkata beliau mengekalkan jawatannya sebagai Presiden CPP dan akan mengambil jawatan Presiden Senat dalam pilihan raya Senat pada 25 Februari tahun depan.
- Bernama-Xinhua
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai