Pertarungan getir Azmin melawan Juwairiya di Hulu Kelang
Pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali mempunyai misi yang lebih besar dalam pilihan raya negeri – untuk menjadi menteri besar sekali lagi, selepas memegang jawatan itu dari 2014 hingga 2018.
Untuk itu, tindakan Azmin pindah bertanding di DUN Hulu Kelang dan tidak mempertahankan kerusi Bukit Antarabangsa yang disandangnya sebelum ini boleh difahami sebagai langkah yang telah diperhitungkan.
Walaupun Azmin pernah menjadi Adun Bukit Antarabangsa selama tiga penggal berturut-turut, PN menerima sokongan hambar daripada pengundinya pada pilihan raya umum lalu berbanding Hulu Kelang.
Tetapi adakah ini bermakna Azmin boleh meraih kemenangan di Hulu Kelang untuk PN?
Azmin, 59 tahun ialah gergasi politik yang kerjayanya bermula ketika pencabarnya calon PKR Juwairiya Zulkifli, 38 tahun masih lagi kanak-kanak.
Namun, pada hakikatnya, Azmin mungkin mendapati dirinya dalam pertempuran getir untuk merebut Hulu Kelang.
Azmin masih bergelut untuk menghapuskan label ‘pengkhianat’ yang melekat pada dirinya susulan tindakannya berpaling tadah keluar PKR pada 2020 melalui Langkah Sheraton.
Label inilah yang dipercayai menjadi punca utama Azmin kehilangan kerusi parlimen Gombak tahun lalu, apabila dikalahkan oleh Amirudin Shari, penggantinya sebagai menteri besar Selangor yang meraih majoriti lebih 12,000 undi.
Tamatkan riwayat politik Azmin
"Saya bukan pengkhianat. Bila saya tak sokong dia, dia kata saya pengkhianat.
"Yang pengkhianat tu yang janji nak turun minyak, tak buat. Yang nak lawan kleptokrat, tapi akhirnya jadi nombor dua,” kata Azmin pada satu majlis ceramah dalam usahanya untuk menjernihkan imejnya yang dilabel pengkhianat.
Sementara itu, Juwairiya, yang pernah bekerja untuk Azmin, menggunakan isu pembelotan itu untuk mendesak ahli dan penyokong PH menghukum bekas timbalan presiden PKR itu kerana mengkhianati mereka.
"Saya hanyalah pembawa panji perpaduan di Hulu Kelang untuk menamatkan riwayat politik Azmin Ali," katanya merayu sokongan pengundi.
Tawaran Azmin untuk Hulu Kelang juga mungkin dihalang oleh rasa tidak puas hati di kalangan akar umbi PAS tempatan.
Rakan gabungan PN itu didakwa kecewa dengan keputusan untuk memberikan Hulu Kelang dan Gombak Setia kepada Bersatu untuk bertanding, manakala PAS hanya mendapat kerusi Sungai Tua.
PAS tak berapa nak sokong
'Orang dalam' kem Azmin mengakui kekurangan sokongan PAS terhadap Azmin dan di Gombak Setia tempat anak didiknya Hilman Idham bertanding kerana kekecewaan mereka tidak dapat bertanding di Hulu Kelang.
"Ada dua sebab PAS nak Hulu Klang. Saari Sungib dulu PAS tapi masuk Amanah, jadi itu memang kerusi PAS.
“Yang kedua, keputusan PRU15, Hulu Kelang kerusi paling selamat dalam Gombak berbanding lagi dua DUN,” kata sumber itu.
Pemerhatian Malaysiakini terhadap beberapa ceramah PN di Hulu Kelang mencerminkan perkara ini.
Sokongan akar umbi PAS nampaknya minima walaupun jentera parti itu mempunyai reputasi berjuang habis-habisan semasa pilihan raya.
Sebaliknya, Juwairiya, yang juga setiausaha politik Amirudin, nampaknya mempunyai pasukan yang lebih hebat dengan jentera PKR disokong oleh pasukan Amanah dan BN Gombak.
Ini walaupun terdapat gangguan pada awalnya apabila PH membuat keputusan saat akhir untuk membawa penyandang DUN Bukit Melawati ke Hulu Kelang, yang dianggap kerusi Amanah.
Walaupun Saari mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi itu atas sebab kesihatan, anak sulungnya Anfaal, yang juga naib ketua Wanita Amanah, telah disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk meneruskan legasi bapanya di Hulu Kelang.
Bimbang dengan potensi rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Amanah tempatan, Juwairiya memulakan ceramah kempennya di Keramat minggu lalu menjelaskan kronologi bagaimana dia akhirnya bertanding di Hulu Kelang dan bukannya mempertahankan Bukit Melawati.
Seorang pemimpin Amanah Gombak mengakui kepada Malaysiakini bahawa terdapat beberapa isu selepas pertukaran calon, tetapi berkata isu itu diselesaikan selepas mesyuarat penyelarasan.
Anfaal pula diletakkan PH bertanding di DUN Taman Templer, kerusi yang sebelum ini disandang pemimpin Amanah Mohd Sany Hamzan yang kini merupakan ahli parlimen Hulu Langat.
Justeru, Juwairiya mendapat sokongan dalam kempennya daripada pemimpin BN Gombak seperti Naib Ketua Umno Gombak Feardaus Daud dan ahli jawatankuasa bahagian Ismail Ahmad, serta pemimpin PH seperti menteri kabinet Fadhlina Sidek dan Nik Nazmi Nik Ahmad dan ulama Amanah Nik Omar Nik Abdul Aziz.
Azmin nak jadi 'penyelamat' Melayu-Islam
Selain menggambarkan dirinya sebagai bakal menteri besar Selangor, Azmin dilihat menjaja sentimen orang Melayu dan Islam terancam dengan kerajaan PH-BN.
Dalam beberapa ceramah kelompok di kawasan Melayu, pemimpin Bersatu itu kedengaran menggesa pengundi Hulu Kelang untuk mengundi dirinya atau mereka akan kalah kepada bukan Melayu.
Azmin juga cuba menggambarkan PN sebagai penyelamat bagi perjuangan Melayu-Islam menentang perikatan PH-BN yang "dikuasai DAP."
"Walau mereka (bukan Islam) minoriti, tapi sebab peratus besar mereka menang.
"Kita (orang Melayu) majoriti tapi peratus rendah, kita kalah,” katanya.
Itu bukan satu-satunya naratif yang cuba disampaikan oleh Azmin, dia juga menjanjikan inisiatif jika PN berjaya merampas Selangor daripada PH, terutamanya untuk orang Melayu.
"Hari ini kita menang, insyaAllah saya akan hapuskan cukai-cukai pintu. Saya juga hapus lesen fi perniagaan," kata Azmin ketika berceramah.
Bekas menteri besar Selangor itu juga membandingkan inisiatif semasa beliau berkuasa dengan penggantinya Amirudin Shari yang didakwanya gagal membendung arus kenaikan kos sara hidup.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berkata meletakkan Juwairiya menentang Azmin di Hulu Kelang dipercayai strategi Anwar Ibrahim yang bersifat 'serampang dua mata'.
Juwairiya sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pegawai khas Azmin dan bekerja dengan seorang lagi bekas pemimpin PKR yang berpaling tadah Zuraida Kamaruddin.
Juwairiya dilihat oleh kem Anwar dalam PKR sebagai salah seorang penyokong setia Azmin pada masa lalu.
"Ia sama serupa di segi strategi yang dibuat ketika PRU15 iaitu ketika PKR letak Amirudin Shari melawan Azmin di Gombak.
"Kita tahu dahulunya Amirudin ni dilihat rapat dan orang kanan kepada Azmin Ali. Bila berlaku Langkah Sheraton, Amirudin kekal, dan ia juga dapat dilihat untuk menguji sejauh mana kesetiaan Amirudin.
"Begitu juga Juwairiya...cara terbaik sama ada untuk memastikan kesungguhan, kesetiaan dalam PKR dalam PH ini bila letak juwairiya berdepan dengan Azmin.
"Jadi ini menjadikan hubungan Azmin, kalau ada sekalipun hubungan politik dengan Juwairiya, akan dapat dipecahkan dengan cara begitu," kata Awang Azman.
Awang Azman memberitahu Malaysiakini bahawa pada masa sama, PH mahu PKR mengambil alih pertempuran menentang Azmin atas faktor operasi, kerana parti itu mempunyai jentera yang agak besar dan kuat berbanding Amanah.
Begitu juga, penyelidik kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun yang berkongsi pandangan serupa.
Menurutnya, Amanah merupakan parti yang lebih kecil dalam PH dan mungkin berdepan kesukaran untuk menentang Azmin.
"Kedua, meletakkan seseorang yang pernah rapat dengan Azmin mengingatkan pengundi bahawa Azmin adalah seorang pembelot politik dan oleh itu tidak sepatutnya diundi," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai