'Kenang jasa Salahuddin' - PN digesa tak bertanding PRK Pulai, Simpang Jeram
Seorang pemimpin PKR hari ini menggesa PN agar tidak bertanding dalam PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram - susulan kematian penyandangnya Allahyarham Salahuddin Ayub - pada 9 September depan.
Timbalan setiausaha agung PKR Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata ia sebagai tanda penghormatan kepada Salahuddin, seperti mana keputusan BN tidak bertanding dalam PRK DUN Chempaka susulan pemergian Allahyarham Nik Aziz Nik Mat pada 2015.
"Walaupun berbeza idealogi politik, Allahyarham Salahuddin merupakan tokoh yang dihormati oleh semua pihak.
"Dia terkenal dengan sifat merendah diri, watak yang lemah lembut dan jasa kepada rakyat dan negara yang perlu dihargai.
"Maka, saya berharap PN dan parti-parti lain tidak akan meletakkan calon pada PRK ini sebagai tanda hormat Allahyarham," katanya kepada Malaysiakini.
Salahuddin yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia pada 23 Julai lepas, pada usia 61 tahun.
Dia meninggal dunia tidak lama setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 Sept. Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan pula adalah pada 26 Ogos dan 5 Sept.
BN telah mengumumkan akan memberi laluan kepada Amanah di kedua-dua PRK itu, manakala Muda berkata bahawa tidak memutuskan sama ada untuk bertanding.
Sementara itu, Sathia berkata gabungan PH-BN tetap bersedia sekiranya PN ingin meletakkan calon dalam dua PRK itu.
"Kalau kita lihat di atas kertas PH telah pun memenangi kedua-dua kerusi tersebut. Majoriti diperolehi PH di parlimen Pulai melebihi 33,000 undi pada PRU15.
"Di Simpang Jeram, Amanah masih mampu mempertahankan kerusi DUN itu walaupun menerima saingan kuat daripada BN dan PN semasa PRN Johor pada 2022.
"Maka, saya lihat peluang PN rampas kedua-dua kerusi itu sangat tipis, lebih-lebih lagi PH dan BN kini berada dalam satu gabungan," katanya.
Pada PRN Johor, Salahuddin mempertahankan kerusi DUN Simpang Jeram dengan majoriti 2,399 undi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai