Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Siri tindakan cuai halang siasatan kematian Anna Jenkins - anak

Dari pekerja binaan yang didakwa menanam semula tulang Anna Jenkins di lokasi berbeza hingga polis yang dikatakan bersikap tidak acuh, anak lelaki mendiang berhujah bahawa beberapa siri perbuatan cuai menghalang siasatan terhadap punca kematian ibunya.

Gregory Steven Jenkins membentangkan garis masa komprehensif dakwaan kecuaian bermula dari masa Anna dilaporkan hilang pada 5 Dis 2017 hingga tulangnya ditemui pada Jun, 2020, serta semasa siasatan polis berikutnya. Anna ketika itu berumur 65 tahun.

Tulang warga Australia ditemui di tapak pembinaan dalam perkarangan Penang Turf Club, di sepanjang Batu Gantung oleh seorang pekerja binaan.

Menurut pernyataan tuntutan yang dipinda di sebalik tuntutan mahkamah berhubung dakwaan kecuaian polis dan kerajaan, Gregory berhujah bahawa pihak berkuasa menunjukkan sikap cuai dalam perkara itu sejak awal.

Gregory, 43, mendakwa ini antara lain dilihat dalam tindakan polis menghantar penyiasat, yang tidak memahami bahasa Inggeris, untuk merekodkan kenyataan daripada mendiang suami Anna, Francis James Michael Jenkins, yang membuat laporan mengenai kehilangan Anna.

Pemohon mendakwa bahawa penyiasat polis yang sama tidak mengambil serius dakwaan bapanya bahawa dia menerima panggilan daripada dua warga Ukraine yang kononnya menahan Anna dan menuntut pasportnya. (Suami Anna meninggal dunia di Adelaide pada usia 84 tahun pada 20 Jun 2023).

Gregory mendakwa bahawa penyiasat polis ini, untuk mewajarkan klasifikasi perkara itu sebagai kes orang hilang, telah mengemukakan beberapa teori di sebalik kehilangan Jenkins, iaitu:

  • bahawa Si Mati (Anna) berhasrat untuk mengelak tahanan di Australia;

  • bahawa Si Mati telah kehilangan derianya akibat suntikan bius dan telah merayau tanpa arah;

  • bahawa Si Mati telah melarikan dirinya daripada Goh Dental Clinic kerana dia tidak ingin untuk menjelaskan bil perubatannya;

  • bahawa Si Mati telah melarikan dirinya daripada keganasan rumah tangga.

Dalam laporan media, Gregory menolak dakwaan polis terhadap ibunya.

Gregory berhujah bahawa pada pertengahan 2020, seorang pekerja binaan didakwa menemui tulang dan barang peribadi Anna di kawasan pembinaan, tetapi tidak segera membuat laporan polis sebaliknya menanam semula tulang itu di kawasan lain di sekitar projek pembinaan.

Gregory mendakwa beberapa minggu kemudian, pekerja pembinaan itu memaklumkan kepada pengurus projek mengenai penemuan itu, dengan pengurus itu didakwa memberitahu pekerja itu untuk mengebumikan semula jenazah di lokasi lain dengan bacaan doa.

Gregory mendakwa apabila pengurus projek dimaklumkan bahawa tulang dan barangan peribadi telah ‘diusik’, maka dia mengarahkan pekerja binaan itu melaporkan perkara itu kepada polis.

Gregory berhujah bahawa pekerja binaan itu tidak mendedahkan fakta penuh berhubung penemuan tulang-tulang dan barangan Anna, sehingga perkara itu terbongkar semasa inkues koroner diadakan tahun lepas, iaitu lebih lima tahun selepas kehilangan Anna.

Gregory mendakwa bahawa pada 26 Jun 2020, sehari selepas pekerja binaan iyu membuat laporan polis, polis mendaftarkan kematian si mati tanpa menjalankan siasatan mengenai punca kematian, menjalankan ujian DNA, atau mencari tulangnya yang masih ada.

Gregory mendakwa, apabila dia tiba di Pulau Pinang pada 29 Julai 2020, polis membawanya, yang diiringi beberapa wakil kedutaan Australia, ke tapak pembinaan di mana tulang Jenkins pada mulanya ditemui, dan dia segera menemui beberapa barangan peribadi lain serta satu lagi tulangnya.

Gregory juga mendakwa, pada 6 Ogos tahun yang sama, dia pergi ke tapak projek sendirian dan menemui beberapa lagi barangan peribadi dan tulang Anna, lalu memaklumkan kepada polis yang kemudian tiba di tempat kejadian untuk mendaftarkan penemuan itu.

Gregory memfailkan tindakan sivil itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Jun tahun ini. Bagaimanapun, pernyataan tuntutan yang dipinda telah difailkan pada hari Rabu minggu ini.

Terdahulu pada 12 Mei tahun ini, Mahkamah Koroner Pulau Pinang menyampaikan keputusan terbuka terhadap Anna.

Dilaporkan bahawa ahli Majlis Perundangan Australia Selatan Frank Pangallo menolak keputusan terbuka mahkamah koroner Malaysia mengenai kematian Anna, sambil menambah bahawa dia akan mendesak satu lagi inkues itu untuk menentukan punca kematiannya.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini tahun lalu, Gregory mendakwa dia perlu menjalankan siasatan sendiri berhubung perkara itu walaupun kes itu mempunyai 11 pegawai penyiasat (IO) dalam tempoh empat tahun.

Keluarga si mati juga mempunyai permohonan berasingan di hadapan Mahkamah Tinggi (bidang kuasa jenayah) untuk menyemak semula keputusan mahkamah koroner.