Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pencemaran di Sg Tiram: Bau macam tangki najis pecah - Penduduk

Pencemaran bau di sekitar kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram, Kampung Sungai Tiram, di Johor Bahru Selasa lepas disifatkan penduduk seperti bau najis lama dan kimia.

Pemilik kedai menjual santan berhampiran sekolah itu, Mohd Rahmat Katni, 36, berkata bau tersebut dapat dihidu sekitar 2 petang iaitu sejam sebelum kejadian warga sekolah mengalami pening dan muntah.

Dia yang turut mengalami pening, berkata insiden pencemaran seperti itu pertama kali berlaku di kampung tersebut.

“Mula-mula saya hidu bau macam tangki pembentung pecah, selepas itu muncul pula bau kuat macam asid.

“Kepala saya pun ada rasa pening dan pesan pada isteri untuk keluar dari kedai sebab takut terjadi apa-apa. Saya cuba juga cari bau itu, tetapi tidak dapat dikenal pasti,” katanya ketika ditemui pemberita di kampung berkenaan, di Johor Bahru hari ini.

Sementara itu, Noor Ain Hamdan, 34 berkata anaknya Muhammad Fattah Azran, 9, murid darjah tiga di sekolah itu turut merasa sakit kepala ketika waktu malam pada hari kejadian.

“Anak saya pada waktu malam ada mengadu rasa sakit kepala dan saya pantau di rumah. Kita sebagai ibu bapa kena pantau anak-anak sebab pihak sekolah pun ada beri nasihat kalau anak tidak berapa sihat, tidak digalakkan ke sekolah,” katanya.

Dia juga berkata kesemua murid diarahkan pulang pada hari kejadian dan sekolah tidak beroperasi hingga semalam.

Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Sungai Tiram Fauzi Faizal pula ketika ditemui berkata agensi terlibat termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih membuat pemantauan di sekitar lokasi kejadian.

Beliau berkata pihaknya turut membantu menjalankan pemantauan dan akan melaporkan dengan segera kepada pihak berwajib sekiranya kejadian seumpama itu berlaku lagi.

Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati tiada bau pelik di sekolah terbabit yang beroperasi seperti biasa hari ini termasuk kedai-kedai berdekatan.

Selasa lepas, seramai 24 pelajar, dua guru dan dua petugas kantin sekolah tersebut mengalami pening dan muntah selepas terhidu suatu bau sekitar 3 petang.

- Bernama