Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Peja nafi terlibat gangguan seksual wanita, bakal failkan saman

Ahmad Faizal Azumu hari ini membuat laporan polis ke atas seorang wanita yang didakwa melemparkan fitnah terhadap Timbalan Presiden Bersatu itu.

Pada masa sama dia juga menafikan tuduhan yang dibuat oleh wanita terbabit.

"Saya telah buat laporan polis dan akan saman wanita tersebut kerana membuat fitnah terhadap saya," katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad Faizal kemudian memberitahu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Sri Hartamas pada jam 2.20 petang ini.

Dalam laporan polis itu, katanya, dia mengesahkan bahawa tuduhan-tuduhan yang dibuat adalah tidak benar dan yakin ada elemen hasutan jenayah dan fitnah.

“Dokumen tersebut menyebut masa, tarikh dan lokasi tentang 'interaksi' tertentu.

“Saya telah pun memaklumkan kepada pihak polis bahawa pada hari dan waktu tersebut saya berada di Negeri Sembilan kerana menjalankan tugas-tugas rasmi sebagai Timbalan Presiden Bersatu.

“Ramai saksi yang boleh mengesahkan kehadiran saya,” katanya.

Terdahulu bekas ahli parlimen Tambun berkenaan diminta mengulas mengenai salinan laporan polis terhadapnya dan tular di media sosial.

Yakin pada polis

Difahamkan, laporan tersebut dibuat di Balai Polis Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada pada 24 Julai lalu.

Dalam laporan tersebut wanita berusia 37 tahun itu mendakwa dia diganggu seorang lelaki bernama Ahmad Faizal Azumu yang mengeluarkan kata-kata seksis terhadapnya.

Kejadian didakwa berlaku di Plaza Damas, Kuala Lumpur.

Sementara itu ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor ketika dihubungi mengesahkan bahawa memang ada laporan polis tersebut dibuat.

Bagaimanapun menurut Amihizam laporan berkenaan ditarik balik pada hari yang sama oleh pengadu.

"Ada laporan dibuat. Pengadu dah tarik report pada hari yang sama," katanya.

Wanita itu yang bekerja sebagai kerani mendakwa Ahmad Faizal berkata: "Wow geram tengok, rasa nak tarik masuk dalam toilet".

Katanya, setelah berbincang dengan suaminya, wanita terbabit membuat laporan polis kerana dirinya berasa malu dan marah.

Menurut Ahmad Faizal, dia memberi kepercayaan penuh kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Saya juga berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat,” katanya.

Malaysiakini juga sedang cuba menghubungi wanita terbabit untuk mendapatkan reaksinya.

Bagaimanapun setakat ini cubaan tersebut belum berjaya.