Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Presiden Gerakan sahkan PN tak beri dana kempen untuk calon

Presiden Gerakan Dominic Lau mengesahkan ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) tidak memperuntukkan sebarang dana kepada calonnya bagi pilihan raya di enam negeri.

Mereka juga tidak menyediakan bendera dan bahan kempen, menyebabkan parti itu terpaksa menggunakan baki bendera dan bahan kempen pilihan raya umum tahun lalu.

Lau memberitahu Malaysiakini malam tadi bahawa disebabkan pembekuan akaun bank Bersatu oleh kerajaan, calon PN dalam pilihan raya negeri (PRN) membiayai sendiri kempen mereka.

"Di pihak kami, Gerakan hanya boleh membantu dengan membantu mereka (calon) membayar deposit, tetapi yang lain adalah pembiayaan sendiri," katanya.

Lau, yang merupakan calon bagi kerusi Bayan Lepas di Pulau Pinang, berkata sebagai presiden parti, dia juga membiayai sendiri kempennya.

"Sukar untuk kami mencari penaja... Banyak topi, bendera dan barangan lain yang tersisa daripada pilihan raya umum ke-15, dan semua calon kami menggunakannya," katanya.

Lau menjelaskan bahawa bendera dan bahan kempen ini tidak dikitar semula dan digunakan semula, sebaliknya sisa daripada pilihan raya sebelum ini, kini digunakan.

Selepas pilihan raya umum ke-15 pada November tahun lalu, PN berdepan dakwaan berhubung sumber dana pilihan raya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudiannya melancarkan siasatan dan membekukan akaun Bersatu pada Januari tahun ini, diikuti dengan menutup akaun itu pada 11 April.

Sabtu lalu (29 Julai), Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata memandangkan pihak berkuasa telah pun membekukan akaun mereka, pembangkang tidak perlu mempersoalkan dana kempen PN kerana kebanyakannya daripada derma orang ramai.