Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Petisyen PRU15: Perlu perbicaraan penuh isu bagi makanan pada pengundi - Peguam

Peguam utama bagi bekas calon BN M Ramasamy dalam rayuannya berhujah mahkamah perlu melaksanakan perbicaraan penuh bagi kes petisyen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lepas.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa petisyen pilihan raya calon BN yang mencabar kemenangan pilihan raya PH R Yuneswaran di kawasan parlimen itu tidak perlu menyatakan butiran yang sangat spesifik mengenai dakwaan kesalahan pilihan raya.

Katanya, ini termasuk isu dakwaan “merasuah” pengundi dengan memberikan makanan di Segamat - kerana ia boleh dihujahkan secara menyeluruh dalam perbicaraan penuh.

Peguam itu berkata demikian ketika pendengaran rayuan Ramasamy di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Johor awal tahun ini yang membenarkan bantahan awal oleh Yuneswaran dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membatalkan petisyen pilihan raya tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Radzi Abdul Hamid, dalam kapasitinya sebagai hakim Mahkamah Pilihan Raya telah memutuskan bahawa petisyen itu tidak seharusnya berdasarkan inferens atau andaian tetapi fakta, dan petisyen itu tidak mengandungi fakta material yang tepat dan jelas.

Mahkamah Tinggi Muar, Johor menolak petisyen Ramasamy selepas memutuskan bahawa terdapat ketidakpatuhan terhadap keperluan Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Peraturan Petisyen Pilihan Raya.

Dalam alasan penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Radzi Abdul Hamid berkata petisyen tidak seharusnya berdasarkan inferens dan andaian tetapi berdasarkan fakta sebenar dan material.

Semasa prosiding di hadapan sidang tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Zabariah Mohd Yusof, Shafee berhujah bahawa hakim Mahkamah Pilihan Raya itu terkhilaf kerana gagal mengambil kira bahawa bukti dakwaan kesalahan pilihan raya tidak perlu dirayu semasa peringkat petisyen, berdasarkan Peraturan 5 jadual kedua Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Peguam itu berhujah hakim terkhilaf apabila tidak mengambil kira fakta bahawa keterangan akan diberikan oleh saksi semasa perbicaraan penuh petisyen itu.

Susulan itu,Shafee berkata perbicaraan penuh petisyen di hadapan Mahkamah Pilihan Raya diperlukan bagi menyampaikan keseluruhan hujah mengenai dakwaan memberi makanan kepada pengundi di Tokong Meng Teck Toh Tong, Jementah, Johor, antara jam 8 pagi dan 10 pagi pada 18 Nov tahun lepas.

Peguam itu menegaskan apa yang dirayu dalam petisyen pilihan raya Ramasany sudah mencukupi di bawah undang-undang, iaitu antaranya responden pertama (Yuneswaran) membuat ucapan berhubung PRU15 di tokong itu yang boleh didakwa secara rasuah mempengaruhi mana-mana orang yang hadir untuk mengundinya.

Ucapan itu, kata Shafee disertai dengan pengagihan makanan.

Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran.

Shafee mengemukakan di hadapan panel hakim - yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Hasnah Mohammed Hashim dan Mary Lim - bahawa video Facebook yang didakwa mengenai insiden tersebut boleh dikemukakan dan dimainkan dalam perbicaraan penuh petisyen itu, sekiranya rayuan berkenaan dibenarkan.

Bagaimanapun, peguam Yuneswaran, Lau Yi Leong, mengemukakan hujah balas bahawa keputusan Mahkamah Pilihan Raya telah dibuat dengan sewajarnya kerana petisyen pilihan raya Ramasamy masih tidak mempunyai butiran mengenai dakwaan kesalahan pilihan raya itu, seperti teks ucapan Yuneswaran yang sebenar.

“Pemohon tidak boleh hanya berkata (dalam petisyen pilihan raya) bahawa responden pertama (Yuneswaran) berucap tetapi hanya mendakwa ucapan itu mengenai PRU15 dan merayu pengundi. Kami mengatakan ini tidak mencukupi.

"Teks ucapan penuh adalah perlu untuk memastikan sama ada janji telah dibuat secara rasuah (kepada pengundi) atau tidak," kata Lau.

Peguam itu menambah bahawa dakwaan dalam petisyen pilihan raya Ramasamy, berhubung poster dan bahan kempen yang dilemparkan terhadap Yuneswaran, tidak mempunyai butiran tarikh dan masa serta lokasi, yang menyukarkan ahli parlimen PH itu untuk menyediakan pembelaan alibi.

Pada akhir prosiding petang ini, Mahkamah Persekutuan menetapkan 18 Ogos depan untuk menyampaikan keputusannya mengenai rayuan Ramasamy. Peguam kanan persekutuan Suzana Atan mewakili SPR.

Pada pilihan raya umum November lalu, Yuneswaran muncul sebagai pemenang dengan 5,669 undi mengatasi calon MIC itu dan dua yang lain.

Menerusi petisyen pilihan raya, Ramasamy mendakwa bahawa Yuneswaran telah "merasuah" pengundi dengan memberi makanaan semasa satu acara di tokong Cina di Johor untuk mempengaruhi mereka.

Calon BN itu telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut serta menuduh Yuneswaran dan ejennya melanggar peraturan pilihan raya mengenai bahan kempen.

Selain itu, Ramasamy turut mendakwa calon PH mengagihkan bungkusan makanan kepada pengundi ketika berkempen.

[Baca berita asal]