Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Calon Bersatu ‘lemah': Faiz kata terserah pengundi nilai Rina Harun

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata dia menghormati penjelasan Rina Harun berhubung pencalonannya di kerusi DUN Batu Tiga di Selangor dalam PRN kali ini.

Bagaimanapun, Muhammad Faiz berkata dia menyerahkan kepada pengundi di DUN tersebut untuk menilai ketelusan ketua wanita PN itu, menjelang hari pengundian pada 12 Ogos ini.

“Saya hormati naratifnya. Tapi saya serahkan kepada para pembaca lain menilai ketelusan kata-katanya terutama para pengundi di DUN Batu Tiga tersebut,” katanya kepada Malaysiakini.

Muhammad Faiz Na’aman

Terdahulu, Faiz dilaporkan tidak berpuas hati dengan cara pemilihan calon Bersatu yang akan bertanding di Selangor yang disifatkan ‘lemah dan bermuslihat’.

Memetik laporan Utusan Malaysia, dia membangkitkan keputusan parti untuk mencalonkan mereka yang telah tewas dalam PRU15, dan secara khusus menyebut nama Rina yang tewas di Sepang, Mohamed Azmin Ali (Gombak), Sasha Lyna Abdul Latiff (Ampang) dan Dr Afif Bahardin (Shah Alam).

Dia berkata telah menyuarakan perkara itu secara peribadi dan mendakwa jika dibawa ke mesyuarat parti sekali pun, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin lebih awal menutup ruang perbincangan dengan mempertahan keputusan tersebut,

Sebelum ini, Rina berkata dia mengambil keputusan untuk berehat sejenak daripada bertanding namun telah diarahkan untuk bertanding di DUN Batu Tiga dalam PRN kali ini.

Katanya, pada mulanya dia cuba menolak secara baik namun menganggapnya sebagai satu kewajiban setelah mengambil kira kapasitinya sebagai ketua Wanita Bersatu dan PN.

"Saya sedar bahawa pandangan masyarakat bercampur baur, ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju, akan tetapi inilah strategi pembidak catur politik yang lebih tahu apa yang terbaik untuk parti dan rakyat.

"Oleh itu, saya akur dengan arahan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin serta ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti," katanya.

Pada PRU15, Rina tewas di Sepang di tangan Aiman Athirah Sabu daripada PH dengan perbezaan 8,949 undi.

Dalam PRN kali ini, Bersatu bertanding 31 daripada 56 kerusi DUN di Selangor. 10 kerusi ditandingi Sayap Bersekutu Bersatu, manakala Pas dan Gerakan masing-masing bertanding 17 dan lapan kerusi.