Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Polis siasat gambar tular Fahmi berucap di masjid

Polis Selangor sedang menyiasat gambar tular Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang dikatakan sedang berucap di sebuah masjid.

Menurut ketua polis negeri Hussein Omar Khan, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kita sudah mendapatkan rakaman ucapan dalam masjid berkenaan dan akan menelitinya untuk siasatan lanjut.

"Kita akan beri maklum balas serta perkembangan mengenai kes terbabit dalam masa terdekat," kata Hussein seperti dipetik Berita Harian selepas menghadiri majlis di Serdang hari ini.

Gambar Fahmi sedang berucap di sebuah masjid di Rawang itu menjadi tular pada hujung minggu dan dia didakwa menyampaikan ucapan politik.

Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad berkata mereka sedang menyiasat Fahmi berhubung kejadian itu, mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah Selangor, kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.

Perlu diingat bahawa Selangor mempunyai larangan berpolitik di masjid.

Fahmi telah menafikan berpolitik di masjid, berkata dia diminta oleh jemaah masjid untuk menjelaskan kontroversi yang menyelubungi persembahan kumpulan The 1975.

"Saya singgah untuk solat Zohor sahaja di masjid itu, sebab ia masjid paling dekat dengan lokasi program seterusnya.

"Alang-alang di situ, saya dijemput oleh kariah Masjid untuk ulas sedikit isu Kumpulan 1975.

“Tiada langsung sentuh isu lain," katanya.

Kumpulan 1975 dari United Kingdom baru-baru ini mencetuskan kontroversi selepas vokalisnya mencium pemain gitar lelaki ketika persembahan di Festival Good Vibes, selepas mengkritik kerajaan kerana melaksanakan dasar anti-LGBT.

Ini menyebabkan Fahmi mengarahkan pembatalan festival muzik berkenaan manakala kumpulan itu dilarang daripada membuat persembahan di Malaysia.