Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Azmin: Umat Islam Melayu tak boleh jadi pemerhati saja

Calon PN Hulu Kelang, Mohamed Azmin Ali mendakwa nasib orang Melayu dan agama Islam di negara ini berada dalam keadaan membimbangkan.

Dia berkata demikian ketika majlis ceramah kelompok bersama pengundi Melayu di Kampung Kemensah, Hulu Kelang.

Justeru, kata Azmin orang Melayu harus keluar mengundi PN pada hari pengundian 12 Ogos ini.

"Umat Islam Melayu tidak boleh jadi pemerhati.

"Sampai bila kita nak duduk kerusi penumpang dan lihat orang lain sedang lakukan sesuatu yang boleh meremehkan kedudukan orang Melayu dan umat Islam," dakwanya ketika berucap.

Bagaimanapun, Azmin tidak menjelaskan pihak yang dimaksudkannya itu.

"Ini peluang kita. Kalau peluang kita sekali lima tahun pun kita tak ambil, jangan salahkan orang lain.

"Masa depan negeri dan negara ditentukan dengan tangan kita sendiri," kata Azmin lagi kepada kira-kira 50 hadirin majlis ceramah di hadapan markas PAS Kampung Kemensah (B).

Kerusi DUN Hulu Kelang menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Azmin (PN) dan Juwairiya Zulkifli (PH).

Untuk rekod Juwairiah ialah penyandang kerusi DUN Bukit Melawati, Kuala Selangor.

Sementara itu, lawannya Azmin merupakan bekas Adun Bukit Antarabangsa selama dua penggal.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos ini, kedua-dua mereka berpindah ke kerusi Hulu Kelang.