Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Najib sanggah penyokong 'Bossku' yang pro-PN, kata anak

Najib Razak kelihatan menjarakkan diri daripada kumpulan yang mendakwa mereka sebagai penyokong bekas perdana menteri itu tetapi mengkritik kepimpinan Umno dan menyokong PN.

Nooryana Najwa, anak perempuan Najib yang menerima mesej daripada bapanya itu menyampaikan pesanan tersebut.

"Datuk Seri Najib ingin tegaskan bahawa Syed Imran dan Papagomo tidak mewakili Datuk Seri Najib mahupun penyokong-penyokong Datuk Seri Najib.

"Syed Imran juga tidak diarahkan oleh Datuk Seri Najib untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai pendirian Datuk Seri Najib.

"Datuk Seri Najib sudah berada dalam penjara hampir setahun dan tidak adil bagi Syed Imran atau mana-mana individu lain untuk tunggang atau mempergunakan nama Datuk Seri Najib," katanya pada hantaran di Facebook hari ini.

Nooryana berkata pendirian Najib hanya akan disampaikan di laman sosial rasminya melalui mesej daripada peguamnya.

Pada malam Khamis, Syed Muhammad Imran mengadakan perjumpaan "penyokong" Najib yang kecewa dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kerana dianggap "pengecut" dan tiada keinginan untuk mencari keadilan buat Najib.

Syed Muhammad Imran juga menuduh Zahid secara berterusan menggunakan mereka untuk sokongan dengan menggunakan nama Najib.

Dia menggesa penyokong Najib mengundi PN untuk mendapatkan keadilan bagi bekas perdana menteri itu.

Syed Muhammad Imran dijangka mengadakan satu lagi acara malam ini bersama bekas ketua Pemuda Umno Wan Azri Wan Deris, juga dikenali sebagai Papagomo.

Anak Najib, Mohd Nazifuddin sebelum ini mendakwa kumpulan Syed Muhammad Imran cuba memanfaatkan pilihan raya negeri untuk kepentingan mereka sendiri.