Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Anwar sertai perarakan calon DUN dalam Parlimen Gombak

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menyertai Perarakan Perpaduan Gombak bagi PRN Selangor untuk memberi sokongan kepada tiga calon DUN di Parlimen itu iaitu Sungai Tua, Hulu Kelang dan Gombak Setia.

Anwar yang juga pengerusi PH tiba pukul 8.50 pagi, dilihat berarak seiringan bersama tiga calon DUN iaitu bagi Sungai Tua Amiruddin Shaari (PH); Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli (PH) dan Gombak Setia Megat Zulkarnain Omardin (BN).

Perarakan yang bermula dari Jambatan Sungai Chinchin hingga ke pusat penamaan calon Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, di Kuala Lumpur turut sertai barisan pimpinan tertinggi parti-parti dalam kerajaan perpaduan.

Perarakan mengiringi tiga calon mewakili PH dan BN itu turut disertai presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor, Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin.

Dihiasi panji logo PH dan BN, pemimpin-pemimpin bersama penyokong parti berjalan sambil melaungkan slogan “kerajaan perpaduan” yang bergema sepanjang kira-kira satu kilometer perjalanan yang memakan masa kira-kira 20 minit itu.

Sejurus tiba di luar pusat penamaan calon, perdana menteri melaungkan ‘reformasi’ sebelum meninggalkan kawasan itu.

Meskipun berlaku sedikit ketegangan antara penyokong kerajaaan perpaduan dan PN di tempat berkumpul bersebelahan pusat penamaan calon itu, keadaan dikawal serta dipantau rapi anggota pasukan keselamatan yang bertugas.

Sementara itu, turut kelihatan hadir memberi sokongan kepada calon-calon PN di pusat penamaan calon yang sama ialah Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan dan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.

Gabungan parti pembangkang itu mencalonkan Pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali bagi DUN Hulu Kelang, manakala DUN Gombak Setia dan DUN Sungai Tua, masing-masing ditandingi Setiausaha PN Selangor Muhammad Hilman Idham dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor Muhammad Hanif Jamaluddin.

Turut kelihatan berada di pusat penamaan itu adalah calon Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu serta Kedah diadakan secara serentak dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Turut diadakan hari ini ialah penamaan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

-Bernama