Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Semua 173 pusat penamaan calon ditutup

LANGSUNG | Ikuti laporan langsung Malaysiakini pada hari penamaan calon hari ini.


11am: Gombak, Selangor: Pertembungan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Calon PH diwakili Menteri Besar sementara Selangor, Amiruddin Shari, manakala PN mempertaruhkan Hanif Jamaluddin dan calon Bebas Shuman Gopal.

DUN Gombak Setia turut menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN Megat Zulkarnain Omardin, penyandang kerusi berkenaan daripada PN, Hilman Idham dan calon Bebas Mohd Salim Mohd Ali.

DUN Hulu Kelang menyaksikan pertembungan calon yang masing-masing bertanding buat kali pertama iaitu bekas menteri besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mewakili PN dan calon PH, Juwairiah Zulkifli.


10.40am, Hulu Selangor, Selangor: Pertarungan merebut kerusi DUN Kuala Kubu Bharu akan menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila seorang ahli DAP yang diketepikan menyertai pertandingan di bawah sepanduk PRM.

Ching Boon Lai, bekas pemimpin akar umbi DAP, memberitahu Malaysiakini bahawa dia telah lama berkhidmat kepada rakyat Hulu Selangor iaitu sejak menyertai DAP pada 2008. Katanya, dia telah lama menunggu untuk diletakkan sebagai calon sejak pilihan raya umum 2013.

"Untuk pemilihan kali ini, wakil penyandang (Lee Kee Hiong/DAP) berkata dia tidak mahu mempertahankan kerusi itu, tetapi pada saat-saat akhir, dia kata parti memerlukannya," kata Ching, sambil menambah dirinya telah menyertai PRM baru-baru ini.

Ching akan bersaing dengan Lee (DAP-Pakatan Harapan), R Siva Prakash (Muda), dan Teoh Kien Hong (PN-Gerakan).


10.30am: Puchong, Selangor - Seorang ahli MCA bertanding di Seri Kembangan sebagai calon bebas.

The Star melaporkan bahawa Wong Jung Lik ialah ahli biro aduan awam cawangan MCA tempatan.

"Saya rasa ini adalah sesuatu yang perlu saya lakukan kerana saya rasa suara rakyat tidak diwakili," katanya.

Dia akan menentang Wong Siew Ki dari DAP dan Liau Wei Jian dari Bersatu.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa terdapat calon bebas yang bertanding di Sungai Pelek (Nageswaran Ravi) dan di Paya Jaras (Nurhaslinda Bansari).


10:29am: Sik, Kedah: Rasmi, DUN Jeneri dan Belantek masing-masing menyaksikan pertandingan satu lawan satu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor yang mempertahankan kerusinya di Jeneri akan berdepan dengan ketua bahagian Umno Sik, Muhamad Khizri Abu Kassim.

Manakala di Belantek, PH akan diwakili oleh Maizi Saipi dari Amanah dan berdepan dengan wakil PAS, Ahmad Sulaiman.

Tepukan gemuruh kedengaran daripada penyokong setiap gabungan ketika pegawai pengurus pilihan raya Mohamad Hilmi Marzuki mengumumkan nama-nama calon yang akan bertanding.


10.20am: Gombak - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menasihati parti politik supaya bertanding secara sihat dan harmoni.

Fahmi menasihati supaya pihak yang berkempen tidak menyentuh isu sensitif khususnya 3R (raja, kaum dan agama).

Katanya, pihak berkuasa akan memantau kempen parti politik termasuk di media sosial.

Dia turut menggalakan media supaya menganjurkan debat sebagai medium kempen calon bertanding.


10.16am: Sekinchan/Sungai Besar, Selangor - Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sekinchan Nazrin izwan secara rasmi mengumumkan Ng Suee Lim dan Goh Gaik Meng sebagai calon N04 Sekinchan di Dewan Sri Sekinchan.

Calon No. 1 Goh Gaik Meng dan calon No. 2 Ng Suee Lim .


10.05am: Gurun, Kedah - Penyokong PN memprovokasi penyokong dari PH dan BN, mengejek mereka dengan laungan “Hoi hoi ya hoi” yang merupakan lirik daripada lagu 'Aduh Malaysia' oleh Altimet.

Lirik itu sinonim dengan Anwar Ibrahim, kerana perdana menteri menggunakannya sepanjang kempennya semasa PRU15.

Ini menimbulkan keresahan peminat PH-BN, dan mengakibatkan jerit-menjerit antara kedua-dua kumpulan.

Pegawai dari SPR memberi amaran kepada penyokong supaya tidak menimbulkan provokasi antara satu sama lain.


10am - Tempoh sejam untuk pencalonan tamat.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan membuat pengumuman rasmi mengenai calon yang akan bertanding.


10.00am: Bayan Lepas, Pulau Pinang - Penamaan ditutup, SPR mengumumkan bahawa dua calon bertanding untuk kerusi Bayan Lepas, termasuk Dominic Lau dari Gerakan dan Azrul Mahathir Aziz dari Amanah.

Ini bererti perlawanan satu lawan satu di DUN Bayan Lepas.


9.45am: Gurun, Kedah - Suasana sunyi di sebelah PN, hanya kedengaran alunan bacaan yasin dari sudut pusat penamaan calon di Dewan Lestari Guar Chempedak.

Ahli Parlimen Jerai Sabri Azit menyertai kira-kira 300 penyokong pakatan pembangkang untuk mendoakan kemenangan politik untuk calonnya Baddrol Bakhtiar.

Baddrol yang berusia 35 tahun bakal menjadi pemain bola sepak "aktif" pertama yang berpindah dari Liga Super ke arena politik.


9.40am: Gombak, Selangor - Penyokong PN menunaikan solat hajat di padang di luar pusat penamaan calon - menggunakan bendera PN sebagai pelapik.

Mereka berdoa agar diberi kemenangan.


9.30am: Gombak, Selangor - Seorang pengundi Gombak Setia hadir menunggu dengan penuh sabar di luar pusat penamaan calon.

Lelaki berusia 65 tahun itu, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Lee memberitahu Malaysiakini bahawa dia berharap "pengkhianat tidak menang".

Penyandang Gombak Setia Hilman Idham pernah menang atas tiket PKR pada 2018 tetapi berpaling tadah kepada Bersatu pada 2020.


9.30am, Hulu Selangor, Selangor: Hanya sebilangan kecil ahli Bersatu Bahagian Hulu Selangor yang hadir berhampiran pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Hulu Selangor di sini, kerana terdapat khabar angin mengatakan pimpinan parti tempatan kecewa dengan keputusan Perikatan Nasional meletakkan Muhammad Muhaimin Harith sebagai calon Batang Kali.

Kebanyakan daripada kira-kira 100 penyokong PN yang hadir menyokong tiga calon PN bagi Hulu Bernam, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali dipercayai daripada PAS, yang calonnya Mu'izzuddeen Mahyuddin mewakili PN untuk pertandingan kerusi Hulu Bernam.

Hanya kain rentang dan poster untuk Mu'izzuddeen yang kelihatan dipegang oleh penyokong, manakala tiada untuk Muhaimin dan calon Gerakan Kuala Kubu Bharu, Teoh Kien Hong.


9.15am: Hulu Selangor - Penyokong PN yang hadir menyokong calon mereka bagi kerusi Hulu Bernam, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali mendengar dengan penuh perhatian ketika pemimpin parti tempatan memberi ucapan satu demi satu untuk memotivasikan mereka agar berusaha memastikan kemenangan mereka dalam pilihan raya negeri.

Salah seorang pemimpinnya ialah Ketua Pemuda PAS Hulu Selangor Mohd Zulwafi Bahaudin, yang memberitahu penyokong PN supaya tidak melihat pesaing mereka daripada Pakatan Harapan dan BN sebagai musuh.

Sebaliknya, katanya, mereka harus menganggap pesaing sebagai kawan dan mengajak mereka menyokong PN pada pilihan raya negeri ini.

"Kami menjemput mereka untuk menyokong PN kali ini, supaya kita dapat menunjukkan satu lagi gelombang dalam pilihan raya negeri Selangor ini," katanya sambil disambut sorakan kuat kira-kira 100 penyokong yang hadir.


9.15am: Bayan Lepas, Penang - Presiden Gerakan Dominic Lau dan penyandang DUN Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz dari Amanah selesai mendaftarkan diri sebagai calon.


9.10am: Sik, Kedah: Menteri besar sementara Muhammad Sanusi Md Nor adalah calon terakhir tiba di pejabat tanah dan daerah Sik.

Penyokong PN melaungkan kalimah takbir ketika penyandang DUN Jeneri itu mengangkat tangan kepada petugas media.

Gaya Sanusi seakan-akan sama seperti gambar ikonik Anwar ketika gerakan reformasi.


9.08am: Sekinchan/Sungai Besar, Selangor - Calon Sekinchan memasuki pusat penamaan calon.

Penyokong PH menunggu di luar pusat penamaan calon dan melaungkan slogan "Tolak PN".


9.00am: Sik, Kedah - Ketika suruhanjaya pilihan raya (SPR) mengumumkan penamaan calon kini dibuka selama sejam, calon BN-PH Khizri (Jeneri) dan Maizi (Belantek) masuk ke pusat penamaan calon.

Terdahulu, calon PN Belantek Ahmad Sulaiman tiba bersama kira-kira 1,000 penyokong.

Sanusi, yang merupakan penyandang Adun Jeneri masih belum tiba.


9.00am: Tendong, Pasir Mas - Seorang calon bebas yang akan bertanding di DUN Tendong Suzainal Adnan Sukri diiringi pelakon Fauzi Nawawi bersama penyokongnya tiba di pusat penamaan calon di Kolej Vokasional Pasir Mas.

Fauzi berkata di hadir sebagai menyokong dan bagi semangat kepada Suzainal Adnan.

“Saya hadir untuk beri sokongan dan semangat kepada sahabat saja Suzainal Adnan yang akan bertanding,” katanya ringkas.

Berbusana baju Melayu lengkap, Suzainal Adnan dikatakan akan menggunakan logo pokok.


9.00am: Bayan Lepas, Pulau Pinang - Semakin ramai penyokong BN hadir menunjukkan sokongan kepada penyandang Adun Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz dari Amanah di pusat penamaan calon.

Mereka memakai baju BN ke pusat penamaan calon dan mengibarkan bendera PH.


8:59am: Sekinchan/Sungai Besar, Selangor - Calon PH Ng Suee Lim dan calon PN Goh Gaik Meng tiba di pusat penamaan calon.

Penyokong kedua-dua belah pihak lantang melaungkan slogan masing-masing.


8.55am: Hulu Selangor - Penyokong Perikatan Nasional mula melaungkan kalimah takbir berhampiran Kompleks Sukan Hulu Selangor ketika calon parti mereka Mu'izzuddeen Mahyuddin (Hulu Bernam), Teoh Kien Hong (Kuala Kubu Bharu) dan Muhammad Muhaimin Harith (Batang Kali) mula berjalan menuju ke pusat penamaan calon.


8.55am: Hulu Selangor - Penyokong Perikatan Nasional mula melaungkan kalimah takbir berhampiran Kompleks Sukan Hulu Selangor ketika calon parti mereka Mu'izzuddeen Mahyuddin (Hulu Bernam), Teoh Kien Hong (Kuala Kubu Bharu) dan Muhammad Muhaimin Harith (Batang Kali) mula berjalan menuju ke pusat penamaan calon.


Zahid iringi calon di Pasir Mas

8.50am: Tendong, Pasir Mas - Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tiba di pusat penamaan calon di Kolej Vokasional Pasir Mas dengan mengiringi tiga calon BN-PH Noor Hariri Mohamed Noor (Tendong), Rushdan Mustafa (Pengkalan Pasir) dan Zahri Omar (Meranti).

Zahid dilihat memberi kata-kata semangat dan berpelukan dengan ketiga-tiga calon sebelum mereka masuk ke pusat penamaan calon.


8:50am: Sungai Panjang, Selangor - Kebanyakan penyokong dilihat memakai baju-T biru BN yang disediakan penganjur, manakala sebahagian lagi memakai baju-T merah PH.

Encik Chia, seorang ahli veteran DASP Sungai Besar, menyorot bahawa dia tidak boleh memakai baju-T DAP untuk perarakan, tetapi berasa "janggal" untuk memakai baju-T BN.

Katanya, dia berasa janggal apabila bertegur sapa dengan ahli Umno yang dahulunya berada di pihak lawan.

"Apabila kami bertemu (Ketua Umno Sungai Besar) Jamal Yunus malam tadi, dia menepuk bahu saya dan berkata, 'dulu kita bergaduh, tetapi sekarang kita abang adik."

Dia menjelaskan perasaan janggal itu datang daripada persaingan sengit untuk undi dalam pilihan raya sebelum ini, tetapi dia percaya hubungan antara dua kem perlahan-lahan terbina.


Anwar iringi calon di Gombak

8.46am: Gombak - Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH tiba dan berarak bersama penyokong ke pusat penamaan calon.

Anwar diiringi Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan Setiausaha Agung BN, Zambry Kadir.


8.45am: Gurun, Kedah - Hujan lebat tidak menghalang penyokong PN dan PH-BN daripada hadir beramai-ramai bagi menunjukkan sokongan kepada calon gabungan mereka.

Penyokong PN meriuhkan pusat penamaan calon di Dewan Lestari Guar Chempedak dengan berarak bersama bendera menggunakan pacuan empat roda.

Begitu juga penyokong PH-BN yang hadir memakai pakaian biru dan merah.

Calon daripada PH Firdaus Johari dan Baddrol Bakhtiar PN tiba satu demi satu kira-kira jam 8.30 pagi.



8.45am: Hulu Selangor - Kira-kira 100 penyokong PH dan BN membawa bendera parti bertema merah dan biru berhimpun berhampiran pusat penamaan calon bagi kerusi DUN Hulu Bernam, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali di Kompleks Sukan Hulu Selangor.


8.45am: Pasir Mas, Kelantan - Calon PN di Pasir Mas, Rozi Muhamad (Tendong) Mohamad Nasrif Daud (Pengkalan Pasir), dan Mohd Nassuruddin Daud (Meranti) - tiba bersama kumpulan penyokong.

Selain bendera PAS, mereka kelihatan membawa sepanduk memapar ketiga-calon iaitu Mohammad Nasriff Daud (Pengkalan Pasir), Rosi Mohamad (Tendong) dan Mohd Nassuruddin Daud (Meranti).

Ketika berjalan menghampiri pusat penamaan calon mereka turut melaungkan kalimah takbir dan tolak LGBT.

Turut kelihatan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari


8:44am: Sekinchan/Sungai Besar, Selangor - Calon PN Goh Gaik Meng dan kira-kira 70 penyokong berkumpul di hadapan sekolah dan bersiap sedia untuk berlepas ke pusat penamaan calon.

Ahli-ahli parti gabungan, PAS, turut datang menyokong Goh.


8.40am: Bayan Lepas,Pulau Pinang - Presiden Gerakan Dominic Lau tiba di pusat penamaan calon sambil tersenyum dan melambai kepada media.

Penyokong Gerakan dan Bersatu juga membawa plakad untuk menunjukkan sokongan.

Bagaimanapun, tiada penyokong PAS yang kelihatan.


8.37am: Sik, Kedah - Calon BN untuk Jeneri Muhamad Khizri Abu Kassim tiba di pejabat tanah dan daerah Sik dengan penyokong yang memakai pakaian berwarna merah dan biru mengekorinya.

Khizri dijangka bertanding menentang menteri besar sementara Muhammad Sanusi Md Nor


Muhyiddin iringi Azmin

8.30am Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin tiba bagi mengiringi calon PN yang bertanding di tiga kerusi di kawasan berkenaan.

Kelihatan calon PN Hulu Kelang, Mohamed Azmin Ali dan penyandang kerusi Gombak Setia, Hilman Idham.

Mereka diiringi oleh penyokong parti mula berarak masuk ke pusat penamaan calon di di Dewan Mutiara Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu.


8:30am: Sungai Panjang, Selangor - Calon Umno Sungai Panjang Mohd Imran Tamrin tiba di cawangan Umno Sungai Besar.

Apabila Imran menyambut penyokong PH, seorang penyokong memberitahunya: "Kami akan menyokong anda 100%, kali ini anda pasti akan menang!"

Ahli PKR dan Amanah Cabang Sungai Besar memakai topi BN dan mengibarkan bendera BN sebagai tanda sokongan mereka.


8.25am: Sungai Tua, Gombak -Suasana tenang di pusat penamaan calon di Dewan Mutiara Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak dekat sini.

Penyokong BN-Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mula berkumpul sejak jam 7 pagi lagi.

Petugas media sedang menantu ketibaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan yang dijangka tiba jam 8.30 pagi.

8.03am: Sungai Panjang, Selangor - Penyokong BN dan PH berkumpul di Umno cawangan Sungai Besar sebelum berjalan ke pusat penamaan calon.

Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos dijangka hadir untuk menyokong calon parti mereka Mohd Imran Tamrin.

Para penyokong menerima baju-T percuma, sarapan pagi dan baucar selepas mendaftar menggunakan kad pengenalan.



7 pagi: Lebih 500 calon dijangka menghantar borang pencalonan mereka untuk bertanding di 245 kerusi DUN bagi PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan, dan untuk PRK Kuala Terengganu.

PRN di enam negeri ini menyusuli Perlis, Perak dan Pahang yang mengadakan pilihan raya serentak dengan PRU15 pada November tahun lalu.

Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor pula telah mengadakan pilihan raya sebelum itu.

Berbeza dengan PRU15, ini kali pertama PH dan BN menyertai pilihan raya sebagai rakan kerjasama, berdepan PN yang terdiri daripada PAS, Bersatu dan Gerakan.

Parti-parti lain yang telah mengumumkan calon masing-masing termasuk Muda dan PSM. Dua parti ini bekerjasama dalam PRN kali ini.

Proses penamaan calon berjalan selama sejam, bermula jam sembilan pagi. Selepas itu, bermulalah kempen selama dua minggu sehingga tengah malam 11 Ogos.

Pengundi akan membuat pilihan mereka sehari kemudian, pada 12 Ogos.