Saifuddin buat dakwaan baru kes kecurian REE di Kedah
Dalam episod terbaru siri pendedahannya berhubung dakwaan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) secara haram di Bukit Enggang, Sik, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata polis sedang menyiasat seorang individu.
Menurutnya, individu tersebut mempunyai kaitan dengan pemerdagangan pekerja yang terlibat dalam perlombongan nadir bumi di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
"Dia ditahan dan kini direman selama 28 hari.
"Dia membawa masuk pekerja dari luar negara dan tidak membayar gaji pun,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis pengenalan calon Perpaduan Kedah dan pelancaran manifesto di Sungai Petani, Kedah malam tadi.
Saifuddin, bagaimanapun tidak mendedahkan nama individu tersebut.
Dalam ucapannya, Saifuddin juga menamakan dua warga negara China yang didakwa diambil bekerja dengan Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah untuk menjalankan eksplorasi unsur nadir bumi.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama suspek kes jenayah itu sementara menunggu pertuduhan rasmi dibuat.
Menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini berkata dia tidak tahu mengenai keberadaan warga negara China itu kerana tidak terlibat secara langsung dalam urusan MBI.
Bagaimanapun, Saifuddin mendakwa malam tadi Sanusi telah menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri pada 31 Mac 2021, supaya individu berkenaan mendapatkan pas lawatan profesional untuk memasuki negara ini.
"Macam mana dia boleh tak tahu? Dia menandatangani surat yang mengandungi nama (warga China) di dalamnya.
"Jika Sanusi tidak tahu apa yang dia tandatangani maka itu sangat berbahaya," katanya.
Sebelum ini, Saifuddin mendakwa Sanusi didenda RM500,000 tahun lepas berhubung kes kecurian nadir bumi.
Menjawab perkara ini, Sanusi menafikan perkara itu dan menjelaskan dia mahupun MBI tidak dikenakan denda, sebaliknya pihak ketiga yang dikenakan denda.
Sanusi juga berkata sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Saifuddin atas dakwaan itu.
Dilaporkan pada Selasa lalu bahawa SPRM telah memulakan siasatan berhubung dakwaan perlombongan REE haram di Bukit Enggang, Sik, yang melibatkan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.
Agensi itu juga menahan seorang pegawai kanan MBI Kedah, serta seorang pengarah syarikat berhubung kes itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pada Khamis minggu lalu bahawa suruhanjaya itu telah menyoal 12 orang setakat ini dan akan memanggil Sanusi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai