PRN Selangor: Rampas pengundi BN jadi fokus utama PN
ANALISIS | PN telah melancarkan kempen yang agresif untuk berdepan PH di kubu kuatnya iaitu Selangor.
Namun, melihat sekali imbas, PH tidak akan berdepan masalah untuk mengekalkan kemenangan bersama rakan barunya, BN jika pengundi Selangor membuat keputusan yang sama seperti PRU lalu.
Tetapi adakah itu yang akan terjadi?
DUN Selangor ada 56 kerusi. Berdasarkan data PRU15, jumlah campuran undi PH dan BN akan membolehkan mereka menang 51 kerusi jika PRN turut diadakan serentak.
Bagi PRN akan datang, penyokong PH dan BN tidak semestinya akan mengundi satu sama lain.
Data menunjukkan PH tidak akan begitu terjejas jika penyokong BN tidak keluar mengundi. Namun jika sebahagian pengundi yang memilih BN tahun lalu beralih ke arah PN, ia boleh memberi akibat yang buruk terhadap kerjasama PH-BN.
Separuh undi BN 'sudah cukup'
Bulan lalu, Naib Pengerusi DAP Selangor Ng Suee Lim berkata dia yakin PH boleh meyakinkan 95 peratus penyokongnya untuk mengundi calon BN.
Namun, dia menjangka hanya 50 hingga 60 peratus penyokong BN yang mungkin mengundi calon PH. Katanya, keadaan ini boleh dianggap sebagai "keputusan yang memadai".
Menurut seorang pemimpin PKR Selangor, apa yang paling merisaukan PH adalah sama ada kalangan yang mengundi BN pada PRU15 akan menyokong kerjasama PH-BN atau tidak. Persoalan ini menimbulkan ketidaktentuan.
Misalnya, dia berkata di Sungai Kandis yang disandang PKR, BN meraih 10,565 undi pada PRU lalu manakala di Paya Jaras, BN meraih 23,290 undi. Di kedua-dua kawasan ini, tiada gabungan yang mendapat undi lebih 50 peratus.
"Mereka ini memang sentiasa undi BN, sekarang bila BN bukan lagi pilihan, siapakah yang akan dipilih mereka?" soalnya.
PN sasar pengundi BN
Beberapa pemimpin Umno memberitahu Malaysiakini mereka menjangka golongan "biru pekat" - penyokong kuat BN - akan kekal di belakang kerjasama PH-BN.
Apa yang membimbangkan mereka adalah "biru cair" - pengundi yang memilih BN pada tahun lalu namun tidak sesetia "biru pekat". Menurut sumber PH-BN, golongan inilah yang menjadi sasaran PN.
Beberapa bulan kebelakangan, pemimpin PN tanpa henti menyerang PH, terutama DAP, dan juga mengkritik Umno kerana didakwa membiarkan kemelayuan mereka tarhakis.
Ini menyebabkan Umno memulakan kempen defensif, di mana pemimpinnya memberi penjelasan berkenaan kebaikan kerjasama dengan PH ketika perhimpunan agung parti.
Mengambil kira BN pernah menjadi sabotaj dalaman sebelum ini, menyediakan para penyokong setianya terhadap kerjasama baru ini dilihat sebagai bahagian penting dalam kempen.
Ketika bekas pengerusi Umno Selangor Noh Omar digugurkan dalam PRU15, para penyokongnya tidak menyertai kempen dan malah mengundi parti lain. BN akhirnya hilang kubu kuatnya, Tanjong Karang di tangan PN.
Sabotaj dalaman biasanya terhad kepada pertikaian pemilihan calon namun kerjasama BN dengan PH boleh menambah banyak lagi isu, terutama apabila ada komponen BN yang tidak diberi kerusi untuk bertanding.
Berapa ramai penyokong BN akan undi PH?
Dengan jangkaan separuh pengundi BN menyokong kerjasama PH-BN dan separuh lagi tidak keluar mengundi - seperti dijelaskan Ng - maka PH akan hilang tujuh kerusi yang dimenanginya dalam PRU 2018. Rujuk gambar di bawah.
Kerusi itu melibatkan Kuang (ditandingi BN), Morib (PH), Sungai Ramal (PH), Sungai Panjang (BN), Sabak (PH), Sungai Air Tawar (BN) dan Sungai Burong (BN).
Namun, jika 30 peratus daripada separuh penyokong BN beralik kepada PN, PH akan hilang tiga lagi kerusi, iaitu Batang Kali (BN), Hulu Bernam (PH) dan Sementa (PH).
Jika keseluruhan separuh penyokong BN mengundi PN, PH-BN akan turut kehilangan Sungai Kandis (PKR) dan Jeram (BN).
Namun, kerjasama PH-BN masih dapat menang di 42 kerusi dan mengekalkan majoriti dua pertiganya, manakala kerusi PN bertambah dari dua kepada 14 (seperti yang ditunjukkan senario ketiga di bawah).
Kadar keluar mengundi faktor penting
Satu lagi faktor utama yang perlu diambil kira pihak yang bertanding adalah kadar keluar mengundi.
Berdasarkan rekod-rekod lalu, kadar keluar mengundi untuk PRN dan pilihan raya kecil (PRK) biasanya lebih rendah berbanding PRU.
Misalnya, di PRN Johor pada Mac 2022, jumlah undi yang diterima PH adalah 47 peratus lebih rendah berbanding undi untuk mereka pada PRU15, manakala undi untuk PN 23 peratus lebih rendah.
Namun PRN akan datang melibatkan enam negeri dengan beberapa pemerhati politik menyifatkannya sebagai "pilihan raya tengah penggal. Pembangkang pula mendakwa ia akan menjadi referendum kepada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Maka, kadar keluar mengundi dijangka lebih tinggi berbanding PRN Johor.
Jika penyokong PN yang mengundi kurang 15 peratus berbanding PRU15 dan penyokong PH keluar mengundi kurang 30 peratus, maka PH berdepan senario terburuk dengan hanya menang di 36 kerusi dan hilang majoriti dua pertiga.
Apa-apa pun, berdasarkan data pengundi PRU15, PH-BN dijangka kekal mentadbir selangor walaupun senario itu yang berlaku (lihat gambar di bawah).
Bagi mengelakkan keputusan yang tidak diingini, PH bukan saja perlu menyasarkan pengundi BN tetapi memastikan penyokongnya sendiri keluar mengundi.
Jika kemerosotan jumlah penyokong PH yang keluar mengundi adalah 11 peratus lebih daripada kemerosotan penyokong PN, maka PH akan hilang majoriti dua pertiganya.
Selagi peratusan kemerosotan PH ini kurang berbanding kemerosotan yang dialami PN, mereka boleh menghalang 'Gelombang Hijau' daripada menghempas kuat di Selangor.
Pemimpin PKR menyifatkan hubungan mereka dengan pemimpin Umno sebagai "ada sedikit halangan" dan maka mereka perlu "membuat penyesuaian segera".
"Tumpuan sekarang adalah di kawasan majoriti Melayu. PH menang di kerusi ini hanya dengan beberapa ratus atau beberapa ribu undi.
"Jika penyelarasan antara PH dan BN tidak bagus, ia boleh memburukkan beberapa isu tertentu, menyebabkan hilangnya undi PH atau BN, atau ada penyokong PH yang tidak keluar mengundi," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai