Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bom bawah kereta Siti Kasim: Polis rekod keterangan 12 individu

Polis telah merekodkan keterangan daripada 12 individu berhubung siasatan terhadap dua bahan letupan buatan sendiri yang ditemui di bawah kereta peguam Siti Kasim minggu lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata setakat ini pihak polis telah mengambil keterangan daripada Siti selaku mangsa, anggota polis, mekanik, pemilik bengkel, seorang saksi Orang Asli dan seorang anggota Rela.

"Kita juga telah menyemak CCTV melibatkan semua tempat disebut oleh mangsa dia pernah pergi.

“Kita dalam proses untuk berusaha mengesan suspek,” kata Ayob dalam sidang media selepas menghadiri satu program di Bukit Aman pagi tadi.

Bom berkenaan sebelum ini ditemui dilekatkan pada bahagian bawah kereta Siti Kasim ketika dia menghantar kenderaan itu untuk pemeriksaan di sebuah bengkel di Bangsar, Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai ada pihak mengaitkan bom itu dengan Islamofobia, Ayob berkata polis tidak menerima sebarang laporan berhubung ugutan lain yang dibuat terhadap Siti Kasim sebelum bom itu ditemui.

"Walau apapun kita tunggu laporan terperinci, mungkin akan dapat kenal pasti suspek," ujarnya.

Kes The 1975: Polis rakam 13 keterangan

Sementara itu, Ayob berkata pihak polis telah menerima 18 laporan berhubung tindakan vokalis kumpulan The 1975, Matt Healy pada Jumaat lalu yang membuat persembahan sambil memegang sebotol arak dan mencium seorang pemain gitar lelaki.

“Lapan (laporan polis dibuat) di Selangor, dan 10 dari kontijen luar.

"Kita telah rakam 13 rakaman percakapan. Enam daripada pengadu, satu daripada penganjur dan enam lagi daripada Puspal (Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara) ," katanya.

Ayob berkata demikian bagi mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa pihak polis gagal bertindak pantas terhadap kumpulan itu dan Healy.

“Insiden ini berlaku pada 21 Julai jam 11.30 malam. Kita difahamkan setelah insiden tersebut konsert dihentikan dan kumpulan The 1975 telah berlepas pulang pada jam 5.30 pagi (keesokan harinya).

"Laporan polis yang dibuat adalah keesokan hari pada 22 Julai jam 2 petang. Jadi kita tidak sempat ambil tindakan," kata Ayob.

Ditanya sama ada PDRM akan bekerjasama dengan pihak Interpol bagi membantu siasatan, Ayob berkata perkara itu adalah mustahil kerana perbuatan Healy tidak menjadi satu kesalahan di UK.

Dalam perkembangan lain, Ayob berkata pihak polis masih dalam proses menyelesaikan siasatan terhadap Jasmine Loo Ai Swan yang merupakan rakan kepada ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low), yang didakwa terlibat dalam skandal 1MDB.

Ditanya pemberita, Ayob berkata pada masa ini tiada perkembangan terbaru membabitkan kes itu selepas lebih dua minggu Loo ditahan pada 7 Julai.

Loo sebelum ini menyatakan kesediaan untuk membantu pihak berkuasa dalam mempercepatkan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB.