Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PRN: Kehilangan Salahuddin beri kesan pada Amanah

Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan pemergian timbalan presidennya Allahyarham Salahuddin Ayub sebagai kehilangan besar buat parti dan tentunya memberi kesan kepada perjalanan kempen pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos depan.

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar berkata ini kerana allahyarham bertanggungjawabkan dalam memikul tugas besar pada PRN di enam negeri kali ini, khususnya di Kelantan dan Terengganu.

Katanya, allahyarham seorang pemimpin yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap tugas apabila diberikan tanggungjawab.

“Allahyarham juga antara pengerusi Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Amanah Nasional yang bertanggungjawab membuat tapisan terhadap calon yang akan bertanding (dalam PRN) dan saya berada dalam komuniti itu.

“Kemudian Allahyarham juga diberikan tugas untuk monitor negeri Kelantan dan Terengganu untuk PRN akan datang.

“Jadi, sudah tentulah terjejas bagi saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Mahfuz berkata demikian ketika diminta mengulas kesan terhadap kempen PRN Amanah dan gabungan PH ekoran pemergian Allahyarham Salahuddin.

Ahli parlimen Pulai dua penggal itu (2018, 2022) telah dikejarkan ke hospital di Alor Setar pada Jumaat sebelum menjalani pembedahan kecemasan dan sejak itu diletakkan bawah pemantauan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata parti itu kini perlu mencari pengganti untuk mengambil alih tugas yang telah diamanahkan kepada Allahyarham.

“Mungkin tak sama dengan komitmen yang ada pada diri beliau tetapi kita terpaksa mencari orang lain.

“Tetapi, insya-Allah kita akan teruskan dengan semangat yang ada pada Allahyarham, maknanya semangat itu masih tinggi dan insya-Allah kita akan bina kekuatan untuk pastikan kita berjaya,” katanya.

Mahfuz berkata pemergian Salahuddin sangat mengejutkan.

Allahyarham angkat darjat Amanah

"Bila saya lihat betapa ramainya yang mengiringi kepulangan Allahyarham dan memberi penghormatan terakhir buatnya, sedangkan dia seorang pemimpin yang biasa saja, pemimpin yang kecil, menteri biasa dan bukan perdana menteri pun.

“Bahkan bukan seorang negarawan tetapi apa yang diperlihatkan bermakna dia telah mengangkat darjat diri dia sendiri dan juga mengangkat darjat parti Amanah,” tambahnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah Dr Mohd Hatta Ramli bertekad untuk tidak mensia-siakan segala bakti yang telah ditaburkan oleh Salahuddin.

“Allahyarham antara pemimpin yang membawa panji-panji parti dalam perjuangan kita dalam pilihan raya kali ini. Beliau telah berkerja kuat meletakkan asas bagi parti Amanah untuk bertanding kali ini dan sama-sama memperjuangkan kerusi dan menyediakan calon-calon.

“Jadi, sudah tentulah kehilangan beliau itu sangat kami rasakan dan kalau dibiarkan begitu saja akan menyebabkan kerugian yang amat besar kepada parti dan negara,” katanya.

Menurut Hatta lagi, allahyarham telah melaksanakan tugas yang diberikan kepadanya dengan cukup baik.

“Walaupun beliau sudah tiada, kerja tangan dia itu sangat terasa. Jadi, itu juga akan memberi kesan yang baik kepada parti dan kerajaan perpaduan,” katanya.

Jelas Hatta, usaha allahyarham ketika hayatnya juga diyakini akan dapat membantu kemenangan untuk Amanah dan juga rakan gabungannya kelak.

“Rakyat khususnya kumpulan B40, anak muda, mahasiswa amat terasa kesan daripada tindakan dia sebagai menteri yang telah dapat memberikan nikmat yang baik, telah dapat mengawal harga barang, telah dapat menyediakan bekalan-bekalan yang tidak putus-putus di pasaran dan segera menangani apa juga laporan mengenai kekurangan, kenaikan harga (barangan keperluan) dan sebagainya.

“Jadi ini memang memberi kesan, saya beranggapan dan saya yakin rakyat tetap menilai tinggi bukan hanya diri beliau tetapi kerajaan perpaduan ini dan insyaallah akan mengenang jasanya dan memberi sokongan kepada usaha-usaha yang beliau telah mulakan dan sekarang ini pastinya akan ditanggung oleh orang lain," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Pilihan Raya PH Kelantan Dr Shamsudin Ghani turut menyifatkan pemergian Allahyarham Salahuddin itu memberi tamparan yang hebat tatkala kempen PRN sedang giat dijalankan.

Kesan tidak terlalu besar

“Saya percaya PH dan secara khusus Amanah sebagai sebuah parti yang matang akan mampu menangani perkara ini dengan baik.

“Sekarang ini pun pihak PH sedang giat menjalankan pemasangan bendera di seluruh DUN yang ditandingi dan semangat para petugas parti juga begitu kuat dengan bantuan gabungan parti daripada BN,” katanya.

Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya PH Negeri Sembilan, Dr Mohd Azam Hamzah beranggapan pemergian pemimpin Amanah itu tidak terlalu memberi kesan besar terhadap gerak kerja gabungan itu.

“Ya, kita kehilangan seorang pemimpin yang amat komited dalam gerak kerja pilihan raya namun kehilangan beliau tidaklah memberi kesan yang sangat besar terhadap PH kerana kami berkempen sebagai PH bukan sebagai individu parti,” tegasnya.

PH-BN buat pertama kalinya akan bekerjasama dalam satu gabungan kerajaan pada pilihan raya kali ini.

PRN di enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan berlangsung serentak pada 12 Ogos.

Terengganu juga bakal menyaksikan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada tarikh sama.