Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'Jika permohonan keluar Islam ditolak, anak guam terpaksa keluar Malaysia'

Seorang wanita terpaksa meninggalkan Malaysia untuk meneruskan kehidupannya jika mahkamah tidak membenarkannya meninggalkan Islam, kata peguamnya di Mahkamah Rayuan hari ini.

Peguam Fahri Azzat berkata, itulah yang akan berlaku kepada anak guamnya yang berusia 33 tahun jika rayuannya untuk diberi peluang berhujah bagi merit semakan kehakimannya, terus ditolak mahkamah.

Katanya, semakan kehakiman yang dibuat wanita berdarah campuran itu perlu dibenarkan memandangkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun lalu terkhilaf apabila memutuskan mahkamah sivil tiada kuasa membenarkan semakan kehakiman berhubung perkara itu.

Di depan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Azizah Nawawi hari ini, Fahri berkata wanita itu tidak boleh kalah "5-0" di peringkat rayuan kerana dia sudah kehabisan wang ketika prosiding perundangan, dan dia perlu mewakilinya secara "pro bono" (percuma).

"5-0" tersebut adalah pelbagai prosiding perundangan yang telah dilalui wanita itu: Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk meninggalkan Islam dan memeluk agama Buddha dan Confucianisme; Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan menolak permohonannya untuk meninggalkan Islam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohohonan semakan kehakiman untuk menyemak semula proses mahkamah syariah membuat keputusan, serta kemungkinan jika permohonannya ditolak di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

"Ini penting untuknya. Jika (dia kalah) 5-0, maka saya terpaksa beritahu dia yang dia tiada kebebasan beragama.

"Jika dia ingin meneruskan kehidupannya, maka saya perlu beritahu dia untuk keluar (dari Malaysia), yang itulah perkara yang perlu dihadapinya.

"Ini (permohonan di mahkamah sivil) adalah langkah terakhirnya. Jika kalau nak berhujah tentang merit (semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) pun tak dapat kerana ditolak atas isu bidang kuasa, maka apa lagi jalan yang dia ada," katanya sambil meminta hakim memberi peluang kepada anak guamnya.

Namun peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dalam hujah balasnya berkata, Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan menghalang mahkamah sivil daripada masuk campur dalam soal seperti permohonan meninggalkan agama yang terletak di bawah kuasa mahkamah syariah.

Ahmad Hanir berkata wanita itu sendiri dalam afidavitnya tidak menafikan dia dilahirkan sebagai seorang Islam oleh ibu bapa beragama Islam, di Johor pada 1990.

'Mahkamah syariah buat keputusan betul'

Katanya, sistem perundangan syariah telah melihat bukti yang diberikan wanita itu dan membuat keputusan yang betul, maka mahkamah sivil tidak perlu terlibat dalam perkara itu.

"Hujah asas (peguam) adalah mahkamah sivil boleh membuat semakan kehakiman terhadap keputusan mahkamah syariah jika ada kejanggalan atau hal yang tidak rasional. Jika itu keadaannya, maka semua keputusan oleh mahkamah syariah boleh dibuat semakan kehakiman (di mahkamah sivil), seperti isu nafkah dan kanak-kanak (hak penjagaan dalam kes penceraian pasangan Islam, maka ia adalah diskriminasi kepada orang Islam.

"Ini kerana mereka perlu ke Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah, dan masih boleh cabar (keputusan dengan pergi ke mahkamah sivil)," katanya.

Panel hakim menetapkan tarikh 28 Ogos untuk memutuskan sama ada membenarkan semakan kehakiman tersebut atau tidak.

Pada 4 Mac lalu, wanita berusia 32 tahun itu ke mahkamah sivil untuk membatalkan keputusan Mahkamah Syariah.

Dia adalah anak kepada seorang lelaki mualaf dan wanita kelahiran Islam. Pada 8 Feb, 1990, dia didakwa berulang-kali telah memohon kepada Mahkamah Syariah untuk meninggalkan agama tersebut dan secara rasmi mahu memeluk ajaran Konfusianisme dan Buddha tetapi gagal.

Ibu bapanya telah bercerai.

Dia mendakwa mahkamah tinggi syariah dan mahkamah rayuan menolak tawarannya kerana mereka berpendapat ia bertentangan dengan hukum syarak (prinsip Islam) untuk membenarkan seorang Muslim meninggalkan agama Islam.

Dia mendakwa ibunya yang beragama Islam tidak pernah memaksanya untuk mengamalkan agama tersebut, dan memberikannya kebebasan kepadanya untuk menentukan sendiri agama yang diamalkannya.

Dia juga mendakwa bapanya hanya memeluk Islam untuk mengahwini ibunya dan ibu dan bapanya tidak pernah mengamalkan agama itu.

Dia juga berkata tidak pernah mengamalkan Islam dan mengucap dua kalimah syahadah.

[Baca berita penuh]