MIC, MCA tak tanding PRN sebab diketepi rundingan kerusi - Vigneswaran
MCA dan MIC diketepikan dalam soal pembahagian kerusi antara sebab kedua-dua parti itu mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, dakwa Presiden MIC SA Vigneswaran.
"Antara sebab MIC tidak bertanding dalam PRN ini adalah kerana dasar pihak yang menang akan dikekalkan di kerusi tersebut, sementara kerusi yang dimenangi pembangkang akan dibincangkan dalam rundingan.
"Tapi, semasa rundingan tidak pernah membincangkan memberi kerusi kepada MCA dan MIC khususnya di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Selain itu Umno juga tidak bersungguh-sungguh ketika mengadakan perbincangan kerusi bagi pihak MCA dan MIC.
"Walaupun, mereka kata akan beri kerusi kepada kami, tapi perkara itu tidak dibincang dalam rundingan. Atas faktor itu, kami mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam PRN ini," katanya kepada pemberita di ibu pejabat MIC, di Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun, tidak jelas jika MCA secara rasmi berkongsi pandangan sama dengan Vigneswaran dan Malaysiakini sedang menghubungi kepimpinan MCA bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Sebelum ini, MCA dan MIC dalam kenyataan berbeza menjelaskan punca dua parti itu tidak akan bertanding dalam PRN yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.
Bagaimanapun, Naib Presiden MCA Ti Lian Ker (gambar, bawah) ketika itu berkata partinya tidak bertanding PRN bertujuan untuk mengendurkan ketegangan kaum.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung MIC RT Rajasekaran berkata dengan keputusan tersebut, parti itu juga secara rasmi tidak akan mempertahankan DUN Jeram Padang di Negeri Sembilan yang dimenangi L Manickam pada PRU ke-14 lalu.
Menjelaskan pendirian MIC, Rajasekaran berkata pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen BN tidak pernah dibincangkan di peringkat parti berkenaan.
Untuk rekod, hanya Umno mewakili BN dalam rundingan kerusi bersama PH.
Selain itu, Vigneswaran juga berkata formula 'kerusi yang menang akan dikekalkan' tidak sesuai kepada MIC.
"Kalau kita setuju dengan formula yang sama pada PRU16, MIC hanya boleh bertanding di kerusi parlimen Tapah sahaja.
"Jadi, rundingan sebegini tidak sesuai kepada MIC.
“Masa depan parti lebih penting berbanding bertanding dalam PRN," katanya.
Untuk rekod, pada PRU15, MIC hanya menang satu kerusi parlimen dari 10 kerusi yang ditandingi oleh parti itu.
Timbalan Presiden MIC M Saravanan berjaya mempertahankan kerusi Tapah bagi penggal keempat dalam pertandingan enam penjuru dengan majoriti 5,064 undi pada pilihan raya umum 2022 itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai