Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Muda Kedah umum tak bertanding dalam PRN

Muda Kedah memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya negeri bulan depan.

Muda Kedah berkata pihaknya pada masa sama akan terus memberi sokongan kepada calon-calon parti itu yang akan bertanding.

“Muda Kedah dengan rasa rendah hati mengumumkan bahawa kami tidak akan bertanding dalam PRN yang akan berlangsung di enam negeri, termasuk Negeri Kedah.

“Sebagai bentuk sokongan kepada calon-calon Muda di seluruh negara, Muda Kedah mengajak semua jawatankuasa negeri dan ahli Muda Kedah untuk dengan ikhlas turut serta memberikan bantuan sepenuhnya.

“Bersama-sama, kita terus memperjuangkan aspirasi rakyat dan membina masa depan yang lebih baik,” kata Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) Muda dalam kenyataan.

Setakat ini Muda mengumumkan seramai 20 calon untuk bertanding di empat negeri pada PRN akan datang dengan 14 calon di Selangor, tiga di Pulau Pinang, dua di Negeri Sembilan dan seorang di Terengganu.

Para calon Muda di Selangor adalah Timbalan Ketua Biro Mahasiswa dalam Jawatankuasa Eksekutif Muda Selangor Aida Nazeera Abd Rahman Taman Templer, Timbalan Ketua Parlimen Muda Bandar Tun Razak Noor Faralisa Redzuan (Pandan Indah) serta CEO syarikat swasta Abe Lim (Bandar Utama).

Turut dicalonkan adalah usahawan T Kalyana Rajasekaran (Bukit Gasing), Ketua Parlimen Muda Klang Azad Akhbar Khan (Kota Anggerik) dan Setiausaha Muda Selangor Zayd Shaukat Ali (Subang Jaya).

Di Pulau Pinang, Muda menamakan anggota jawatankuasa eksekutif Muda negeri H Vikneswary (Perai) serta peguam Lee Kim Noor (Batu Uban).

Calon Muda di Negeri Sembilan adalah ketua biro mobilisasi Muda negeri Ahmad Qusyairi Abdull Rahman (Temiang) dan pempengaruh media sosial Muhammad Noriswan Ishak (Repah), manakala di Terengganu Pengarah Pilihan Raya Muda Luqman Long akan bertanding di Bandar.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal 8 Ogos.