Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pemimpin, calon Muda akan jalani latihan kepekaan kekurangan upaya

Semua calon PRN Muda dan kepimpinan tertinggi parti itu akan menjalani latihan kepekaan mengenai kekurangan upaya, kata timbalan presiden Amira Aisya Abdul Aziz.

Ia susulan kecaman yang diterima calon Muda DUN Repah, Muhammad Noriswan Ishak selepas video lamanya, di mana dia didakwa menghina orang kurang upaya (OKU), muncul semula di media sosial.

“Semua ada masa silam mereka. Yang paling utama adalah kesediaan untuk belajar.

“Iswan sudah pun memohon maaf secara terbuka dan bersedia untuk menjalani latihan,” kata Aisya sebagai respons kepada satu ciapan berkenaan perkara itu semalam.

Tambah Amira, isu berkaitan OKU adalah antara perkara yang akan diperjuangkan Noriswan di Negeri Sembilan sekiranya diberikan peluang di DUN Repah.

Pada 2021, Noriswan memuat naik video di TikTok yang memaparkan dia bersama seorang rakan berpura-pura menjadi OKU bagi mendapatkan tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

Dalam video itu, Noriswan mengeluh tentang kekurangan tempat letak kereta bagaimanapun berjaya mendapatkannya selepas rakannya berlagak seperti seorang OKU.

Bagaimanapun Noriswan telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan mendakwa video itu sebenarnya dibuat untuk mempersendakan orang yang berpura-pura kurang upaya untuk mendapatkan tempat letak kereta.

Iswan, 32, merupakan calon Muda bagi DUN Repah dan akan berdepan penyandang selama tiga penggal, Veerapan Superamaniam daripada DAP.

Iswan antara lain berkata kempennya akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kemudahan kesihatan, menyelesaikan isu tempatan serta meransang pembangunan ekonomi di Repah.