Bekas timbalan pengerusi Bersatu Kelantan sertai DAP
Bekas Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan Mohd Zulkifli Zakaria menyertai DAP selepas menyerahkan borang keahliannya kepada wakil parti berkenaan malam tadi.
Turut menyertainya ialah 12 orang penaja cawangan DAP yang akan diwujudkan di Bachok dalam tempoh waktu terdekat.
Mohd Zulkifli berkata ketika ini sudah ada dua cawangan DAP dalam kawasan DUN Pantai Irama di Parlimen Bachok, dan banyak lagi cawangan akan diwujudkan di dalam kawasan DUN Jelawat serta Tawang, yang juga berada dalam kawasan Parlimen Bachok.
"Kita juga akan turun membantu jentera DAP, PH yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan borang keahliannya itu kepada Pengerusi DAP negeri Azaha Abdul Rani.
Turut hadir Setiausaha DAP Pulau Pinang Lim Hui Ying.
Sebelum ini semua jawatan yang disandang Mohd Zulkifli dalam Bersatu gugur secara automatik selepas dia bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Bachok pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tahun lepas.
Sementara itu Azaha berkata pihaknya meletakkan harapan tinggi agar calon dari parti itu diberi peluang bertanding mewakili PH bagi merebut kerusi DUN Kota Lama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan bulan depan.
Beliau berkata DUN Kota Lama memiliki kira-kira 38 peratus pengundi bukan Melayu, justeru pimpinan parti di peringkat negeri melihat mereka mempunyai harapan cerah untuk membuat kejutan pada pilihan raya nanti.
Bercakap kepada media selepas majlis ramah tamah pimpinan DAP Kelantan bersama ahli parti di Kota Bharu malam tadi, dia berkata bagaimanapun pihaknya tetap patuh kepada sebarang keputusan pimpinan parti.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), calon PAS Anuar Tan Abdullah memenangi kerusi DUN Kota Lama buat kali keempat dengan majoriti 1,445 undi, menewaskan empat calon lain termasuk dari PKR dan BN.
Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dan Pengerusi PH ketika mengumumkan senarai calon PKR yang akan bertanding pada PRN di enam negeri, tidak membuat sebarang pengumuman mengenai DUN Kota Lama, kerana menurutnya PKR dan Amanah masih perlu berbincang mengenainya.
PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan ditetapkan pada 12 Ogos dengan hari penamaan calon pada 29 Julai.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai